Hukuman mati terhadap Nagaenthran ditangguh selepas positif COVID-19

Agensi
November 9, 2021 17:04 MYT
Tiada sebarang tempoh masa diberikan dalam penangguhan itu dan keputusan sama ada hukuman terus ditangguh atau tidak akan diberitahu kelak. - Foto change.org
SINGAPURA: Mahkamah Singapura pada Selasa menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap warga Malaysia D Nagaenthran atas dasar "kewarasan dan kemanusiaan (common sense and humanity)" selepas lelaki berusia 33 tahun itu disahkan positif COVID-19.
Begitupun, tiada sebarang tempoh masa diberikan dalam penangguhan itu dan keputusan sama ada hukuman terus ditangguh atau tidak akan diberitahu kelak, lapor Reuters.
Nagaenthran sepatutnya dihukum gantung pada pagi Rabu namun mahkamah bersidang pada Selasa bagi mendengar rayuan terakhir peguam yang mewakili tertuduh.
Menerusi hujahnya, peguam Nagaenthran berkata lelaki tersebut tidak sepatutnya dihukum mati kerana dia merupakan lelaki yang kurang upaya intelek.
Kes tersebut menarik perhatian antarabangsa termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sekumpulan pakar dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan jutawan British Richard Branson.
BACA: Hukuman mati Nagaenthran: PM mohon Singapura ringankan hukuman
Semuanya meminta Singapura meringankan hukuman mati yang dikenakan terhadap Nagaenthran.
Nagaenthran ditahan pada April 2009 kerana mengedar kira-kira 42.72 gram heroin dan dijatuhkan hukuman mati selepas mahkamah mendapatinya bersalah.
Begitupun, peguamnya telah memfailkan rayuan terhadap hukuman itu dengan alasan lelaki tersebut tidak sihat dari segi mental.
Peguamnya berkata, sekiranya menggantung Nagaenthran, ia akan melanggar perlembagaan Singapura kerana dia seorang yang kurang upaya intelek.
#D Nagaenthran #hukuman mati #Dadah #Singapura
;