Hukuman mati: 'Permudahkan proses bawa balik jasad Nagaenthran' - Peguam

Firdaus Azil
April 27, 2022 10:54 MYT
Surendran berkata, beliau konsisten memandang hukuman gantung sampai mati bukan satu penyelesaian terbaik kepada jenayah pengedaran dadah. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Peguam kepada Nagaenthran Dharmalingam, rakyat Malaysia yang dihukum gantung pagi ini, berharap agar Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, dapat membantu melicinkan proses membawa balik mendiang.
N Surendran, ketika dihubungi Astro AWANI berkata, ketika ini adik kepada Nagaenthran, sedang berada di Penjara Changi, untuk menguruskan proses membawa kembali mendiang ke Ipoh, untuk dikebumikan berhampiran tempat tinggal keluarganya.
Selain itu, bekas Ahli Parlimen Padang Serai itu berkata, adik Nagaenthran juga akan melakukan sedikit upacara bagi menghormati pemergian abangnya itu.
“Nagaenthran telah pun dikenakan hukuman mati pada pagi tadi, di penjara Changi. Sekarang adik mendiang berada di penjara untuk membuat pengurusan, supaya jasadnya boleh dibawa kembali ke Malaysia.
“Setelah membuat upacara sedikit di Singapura, mereka bercadang untuk membawa jasad ke Ipoh, tempat tinggal keluarga Nagaenthran. Dan saya berharap bahawa, Suruhanjaya Tinggi Malaysia serta pegawainya akan memberi bantuan sepenuhnya untuk melicinkan proses ini,” katanya lagi.
Mengikut laporan Reuters, Nagaenthran, 34, yang berada dalam tahanan sejak 13 tahun lalu, telah dihukum gantung awal pagi ini atas kesalahan mengedar dadah di negara republik itu.
BACA: Nagaenthran jalani hukuman gantung awal pagi tadi
'Permudahkan proses bawa balik jasad Nagaenthran' - Peguam
Pelbagai pihak, baik dari Kerajaan Malaysia, termasuk ahli perniagaan terkemuka Britain, Sir Richard Branson, dan selebriti United Kingdom, Stephen Fry, cuba menggesa agar hukuman itu dihentikan, namun ia tidak berjaya.
Mengulas lanjut, Surendran berkata, dia berasa kesal dengan sikap pemimpin Singapura, di mana negara itu diibarat antara negara rakan sejak sekian lama.
“Perdana Menteri Malaysia, YDP Agong, semua telah membuat rayuan kepada pihak kerajaan Singapura dan Presiden. Malangnya mereka tidak membatalkan hukuman gantung. Sebagai satu negara yang 'friendly', ini bukan satu sikap yang konsisten dengan konsep 'friendly nation' dengan Malaysia.
“Sama ada ia akan menggugat pertalian antara kerajaan Malaysia dan Singapura, itu adalah bergantung kepada respon kerajaan Malaysia terhadap tindakan Singapura pagi ini, yang telah ‘membunuh’ rakyat kita yang mempunyai 'mental disability',” katanya lagi.
[TERKINI] Hukuman mati Nagaenthran dilaksanakan pagi tadi
Selain itu, Surendran berkata, beliau konsisten memandang hukuman gantung sampai mati bukan satu penyelesaian terbaik kepada jenayah pengedaran dadah.
“Seterusnya, saya memang kecewa kerana hukuman gantung ini tidak pernah menyelesaikan atau akan menyelesaikan masalah pengedaran dadah atau apa-apa jenayah berat.
“Ia tidak sepatutnya wujud. Yang mati hanya 'drug mule', dan bukannya 'mastermind' atau 'drug kingpin' yang menjalankan perniagaan atau pengedaran dadah secara besar-besaran,” tegasnya lagi.
#D Nagaenthran #N Surendan #hukuman gantung sampai mati #Singapura
;