Hukuman mati masih kekal terhadap 1,342 banduan akhir - Wan Junaidi

Afiezy Azaman
Jun 13, 2022 13:28 MYT
Moratorium pelaksanaan hukuman mati masih dikekalkan terhadap 1,342 banduan akhir sehingga tindakan susulan berkaitan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori termasuk pindaan akta-akta berkaitan dilaksanakan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Moratorium pelaksanaan hukuman mati masih dikekalkan terhadap 1,342 banduan akhir sehingga tindakan susulan berkaitan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori termasuk pindaan akta-akta berkaitan dilaksanakan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Pejabat Peguam Negara akan mengkaji dan meneliti kebolehlaksanaan syor-syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas untuk 1,342 banduan akhir tersebut.
Katanya, cadangan mereka adalah penubuhan Panel Khas yang terdiri dari hakim-hakim mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan namun perkara ini perlu penelitian memandangkan ia menyentuh isu keperlembagaan.
“Kita kena ingat balik hukuman mati belum dimansuhkan, orang ini sudah dihukum mati tapi ada hukuman mati tidak melihat fakta tetapi bukti sahaja.
“Sama ada bukti sudah cukup dan hakim tiada budi bicara dan diberikan hukuman mati walaupun hakim memikirkan orang ini jangan diberikan hukuman mati dan diberikan hukuman lain seperti 40 tahun penjara, tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana tangan hakim telah diikat oleh undang-undang.
“Jadi itulah kenapa Jawatankuasa Khas mencadangkan tribunal dilantik dan dalam masa sama, saya akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara dan BHEUU mengenai implikasi Perlembangaan dan kita ketahui semua kes ini sudah sampai ke Mahkamah Persekutuan,” katanya, dalam sidang meida khas di sini, pada Isnin.
Wan junaidi menjelaskan beliau menerima banyak saranan dan cadangan berkaitan kes banduan akhir seperti pengampunan, namun banyak perkara perlu dipertimbangkan seperti keadilan kepada mangsa dan keluarga.
Beliau berkata, akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Hakim Negara untuk mendapatkan pandangan sebelum keputusan berkaitan 1,342 banduan akhir itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.
Jelasnya lagi, antara pertimbangan adalah konsep diyyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan penjenayah) ini sebagai suatu hukuman alternatif terhadap hukuman mati mandatori.
Walau bagaimanapun, jelasnya terdapat pandangan bahawa konsep pembayaran pampasan (diyyat) hanya mampu dilunaskan oleh golongan yang berada sahaja dan ia tidak akan membantu semua golongan masyarakat.
Oleh yang demikian, Wan Junaidi menyatakan ia merupakan satu bentuk diskriminasi antara golongan kaya dan miskin dan aspek pemakaian diyyat kepada penjenayah bukan Islam juga turut dibincangkan dan dilihat sebagai cabaran terhadap pelaksanaan cadangan ini secara umumnya.
“Saya belum lagi berbincang secara mendalam dengan para ilmuan, Mufti-mufti, pakar-pakar namun sesi libat urus akan dibuat dengan kesemua mereka sama ada boleh atau tidak melaksanakan secara menyeluruh atau kepada kelompok tertentu sahaja.
“Kalau kelompok tertentu apa akan jadi kepada pihak lain? Jadi kita kena adil kepada semua dalam mengambil tindakan dan banyak lagi perkara perlu kita pertimbangkan,” jelasnya.
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar #undang-undang #hukuman mati #konsep diyyat
;