Hukuman mati mandatori perlu dikekalkan - Pendakwah
Sinar Harian
November 12, 2018 09:22 MYT
November 12, 2018 09:22 MYT
Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman berpendirian bahawa hukuman mati mandatori masih perlu dikekalkan di negara ini.
Pendirian itu dinyatakan beliau dalam perkongsian di akaun Facebooknya yang merujuk kepada kes seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang meninggal dunia Jumaat lalu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuhnya.
Zaharuddin berkata, kewujudan kes-kes melampau zalim seperti ini di negara kita, menyebabkan hukuman mati ke atas beberapa jenis kesalahan melampau zalim masih perlu dikekalkan.
“Takziah diucapkan kepada ahli keluarga mangsa,” katanya.
Awal Oktober lalu, Kabinet memutuskan yang pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini dan susulan itu, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.
Kabinet seterusnya menimbang mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun jika hukuman mati mandatori dimansuhkan.
Ketika ini ada 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.
Pada masa ini seramai 1,267 banduan berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.
#banduan
#bayi
#Dadah
#dera
#hukuman mati
#jenayah
#kabinet
#keganasan
#kes melampau
#mandatori
#mangsa
#mansuh
#meninggal dunia
#Murshid
#penjara
#Yang di-Pertuan Agong
#Zaharuddin Abd Rahman
#zalim