Hukuman mati lelaki bunuh Timbalan Pengarah Veterinar diganti dengan penjara 38 tahun
Bernama
Ogos 7, 2024 22:15 MYT
Ogos 7, 2024 22:15 MYT
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati bekas pengawal keselamatan kepada penjara 38 tahun kerana membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak Dr Rohani Kassim, 13 tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Harmindar Singh Dhaliwal membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Syahmie Hassan untuk menggantikan hukuman mati dengan pemenjaraan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Turut bersidang Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hanipah Farikullah.
Dalam penghakimannya, Harmindar berkata Syahmie berumur 20 tahun ketika melakukan kesalahan itu dan hukuman mati hendaklah dijatuhkan dalam kes yang membabitkan keadaan luar biasa serta keganasan melampau.
Beliau turut memerintahkan Syahmie disebat sebanyak 12 kali dan menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 4 Ogos 2011.
Syahmie, 32, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 31 Julai 2015 kerana membunuh Dr Rohani, 38, di pangsapurinya di Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View, Ulu Kinta, Perak antara 6 petang dan 7.30 malam 3 Ogos 2011.
Pada 18 Mei 2016, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap Syahmie manakala Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya pada 11 Jan 2018.
Terdahulu, peguam Abdul Rashid Ismail memohon mahkamah mempertimbang keadaan mental Syahmie ketika kesalahan itu dilakukan serta statusnya sebagai pesalah muda.
Timbalan Pendakwa Raya How May Ling pula membantah permohonan itu atas alasan jenayah yang dilakukan oleh Syahmie adalah ganas dan tidak berperikemanusiaan.
Menurut keterangan yang dikemukakan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi, Syahmie telah memecah masuk ke pangsapuri Dr Rohani dengan niat untuk mencuri dan apabila gagal menjumpai barangan berharga, tertuduh menunggu kepulangan mangsa.
Ketika berlaku pergelutan, Dr Rohani telah menggigit jari penyerangnya dan sebagai tindak balas, tertuduh menolak mangsa hingga terjatuh dan kepalanya terhantuk pada meja.
Menyedari mangsa masih hidup, tertuduh telah bertindak menjerut leher mangsa dengan kain langsir sehingga wanita itu tidak lagi bernyawa.
Syahmie kemudian menyetubuhi mayat mangsa.
-- BERNAMA