Hukuman mati kes Zulfarhan: 'Keputusan Mahkamah Rayuan detik suram kehakiman negara' - Suhakam
Firdaus Azil
Julai 25, 2024 18:27 MYT
Julai 25, 2024 18:27 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam pesalah berhubung kes pembunuhan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, menandakan detik yang suram dan menyedihkan untuk cabang kehakiman negara.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, ia percaya bahawa hukuman mati bukan satu penyelesaian yang adil atau efektif.
Katanya lagi, hukuman mati merupakan bentuk hukuman yang tidak boleh dipulihkan, dan tidak membenarkan sebarang kemungkinan untuk rehabilitasi sekiranya terdapat penghakiman yang salah.
“Ia juga berlawanan dengan pergerakan global ke arah penghapusan hukuman kapital, yang ketika ini banyak negara melihat ia sebagai tidak berperikemanusiaan, dan bercanggah dengan hak asasi manusia,” menurut kenyataan itu lagi.
Suhakam berkata, walaupun ia berkongsi kesedihan ahli keluarga mangsa, dan mengakui tahap keterukan jenayah yang telah dilakukan, namun pihaknya tegas menentang bentuk hukuman tersebut.
Ia berkata, dalam konteks tersebut, amat penting untuk menitikberat keperluan rehabilitasi, yang mampu menukar penjenayah menjadi ahli masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan konstruktif.
Pendekatan tersebut, jelasnya lagi, bukan sahaja akan menangani punca permasalahan sikap yang ganas, tetapi dapat mencegah kebarangkalian berulangnya tragedi seperti kes tersebut, dengan cara mempromosi pemahaman, empati, serta tanggungjawab sosial di kalangan pesalah.
“Kami akan terus komited terhadap mandat hak asasi manusia, dan akan terus menggalakkan pemansuhan hukuman mati.
“Suhakam menyeru Kerajaan Malaysia untuk melihat semula penggunaan hukuman mati, dan terus berusaha mewujudkan sistem keadilan yang adil, dan berunsurkan perikemanusiaan untuk semua,” katanya lagi.