Hukuman mati, kembiri tangani rogol kanak-kanak: Pendirian netizen berbeza
Nizam Bakeri
Mei 27, 2016 21:21 MYT
Mei 27, 2016 21:21 MYT
Hukuman mati dan kembiri yang bakal dikenakan ke atas pesalah jenayah seksual kanak-kanak di Indonesia mencetuskan perdebatan hangat di negara itu.
Presiden Indonesia Joko Widodo memperkenalkan hukuman tersebut selepas menandatangani surat perintah pengganti undang-undang pada Khamis.
Surat perintah tersebut akan dikemukakan kepada Parlimen dalam waktu terdekat untuk persetujuan anggota Dewan Perwakilan Rakyat.
Menurut Jokowi, beliau mengeluarkan surat perintah itu susulan peningkatan kekerasan seksual ke atas kanak-kanak yang begitu ketara di Indonesia.
“Perlu kepada cara menangani yang luar biasa kerana (ia) mengancam, membahayakan jiwa dan pertumbuhan anak,” katanya seperti dipetik portal berita CNN Indonesia.
Kerancakan perbincangan itu turut tersebar ke Malaysia apabila netizen membincangkan kewajaran dan keberkesanan hukuman tersebut.
Rata-rata netizen bersetuju dengan hukuman mati dan kembiri yang dicadangkan memandangkan jenayah rogol yang kejam dan hukuman setimpal perlu dikenakan.
Netizen turut menekankan hukuman kembiri berkesan memandangkan pesalah seksual ke atas kanak-kanak didakwa berbuat demikian kerana faktor mental yang tidak mampu dikekang selepas keluar penjara.
Noormah Abdullah menyokong hukuman tersebut: "Wajar sebagai pengajaran ke atas perogol."
Namun ada juga yang berpendapat hukuman mati tidak wajar bagi pesalah seksual ke atas kanak-kanak kerana hukuman tersebut melibatkan nyawa.
Ada netizen yang turut mendakwa hukuman kembiri semata-mata tidak mampu mengekang pesalah seksual yang akan sentiasa mencari jalan melunaskan nafsu mereka.
Undang-undang baharu Indonesia itu memperuntukkan hukuman penjara di antara 10 hingga 20 tahun, hukuman penjara seumur hidup dan hukuman mati.
Ia juga memperuntukkan hukuman kembiri secara kimia, pendedahan identiti serta pemasangan alat pengesan elektronik pada pesalah.