Hukuman lebih berat menanti penternak unggas di Perak yang cemar alam sekitar

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 23, 2020 15:41 MYT
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak sering menerima aduan berkaitan masalah pencemaran dan pembiakan lalat yang memudaratkan kesihatan awam serta mendatangkan kacau ganggu, berpunca daripada ladang ternakan. - Gambar hiasan
IPOH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perak sedang dalam proses membuat pindaan Enakmen Perladangan Unggas Negeri Perak 2005 untuk mengenakan hukuman lebih tinggi terhadap penternak yang mencemar alam sekitar.
Pengarahnya, Dr Ahmad Shafri Hassan berkata, buat masa ini, enakmen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Menurutnya, di bawah enakmen itu, sekiranya penternak yang sama mengulangi kesalahannya, dia akan dikenakan hukuman penjara disamping denda maksimum.
“Jabatan telah mula mengambil tindakan lebih tegas terhadap penternak yang gagal mematuhi Enakmen Perladangan Unggas 2005 dengan mengenakan tindakan saman dan kita tidak akan berkompromi lagi dengan penternak yang tidak mengamalkan sistem perladangan unggas yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebagai jabatan yang bertanggungjawab untuk pembangunan industri penternakan, pihaknya memerlukan kerjasama dan komitmen daripada semua penternak.
Katanya, pemilik ladang unggas juga hendaklah lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat setempat, dan amalan penternakan yang tidak baik sering mengundang kepada aduan-aduan berkaitan pencemaran alam sekitar dan pembiakan lalat serta bau busuk.
Beliau berkata, ladang-ladang unggas di Perak telah mula dilesenkan sejak tahun 2011 dan penternak diberi peluang begitu lama untuk membaiki sistem penternakan mereka.
Ekoran itu, kata Ahmad Shafri, seharusnya semua penternak telah mula mengusahakan ladang ternakan mereka tanpa sebarang aduan dan kacau ganggu.
“Malangnya aduan semakin meningkat dan pemeriksaan juga mendapati penternak gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.
Menurutnya, memandangkan aduan berkaitan masalah pencemaran dan pembiakan lalat yang memudaratkan kesihatan awam serta mendatangkan kacau ganggu semakin meningkat, jabatan telah mula mengambil tindakan saman terhadap penternak yang melakukan kesalahan di bawah Enakmen Perladangan Unggas 2005 Negeri Perak.
Beliau memberi contoh, seorang penternak ayam di Segari yang gagal mematuhi peraturan itu telah didenda RM6,500 atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret Pantai Remis pada 21 Oktober lalu.
Katanya, menurut pertuduhan, penternak berkenaan telah melepaskan kumbahan sisa unggas yang tidak dirawat secara terus menerus ke parit di luar kawasan ladang penternakan.
“Pelepasan kumbahan tersebut terus mengalir ke anak sungai dan menyebabkan pemcemaran Sungai Sempit yang terletak berhampiran ladang itu,” tambahnya.
Ahmad Shafri berkata, kes itu adalah yang pertama dibawa ke mahkamah kerana sebelum ini pihak jabatan hanya mengeluarkan kompaun yang tidak melebihi RM2,000.
“Jabatan juga tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen penternakan jika mereka mengulangi kesalahan yang sama,” tegasnya.
#Jabatan Perkhidmatan Veterinar #JPV #enakmen perladangan unggas #Perak #penternak #alam sekitar #pencemaran
;