Hukuman lebih berat kepada pesalah teroka tanah secara haram - Wan Junaidi

Bernama
Jun 16, 2016 18:28 MYT
WAN JUNAIDI: Ini membuktikan keseriusan kerajaan dalam mengambil kira aduan rakyat untuk tindakan segera seperti yang berlaku di Cameron Highlands. - Gambar fail
Hukuman lebih berat akan dikenakan kepada mereka yang mengusahakan tanah kerajaan tanpa kelulusan dan keizinan pihak berkuasa, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Pindaan itu antara yang termasuk di dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah Negara 2016 yang diluluskan hari ini selepas dibentang Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
"Pindaan ini membolehkan hukuman denda lebih berat di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dari RM10,000 kepada RM500,000 dan tempoh penjara dari satu tahun kepada 15 tahun.
"Ini membuktikan keseriusan kerajaan dalam mengambil kira aduan rakyat untuk tindakan segera seperti yang berlaku di Cameron Highlands," kata Wan Junaidi.
Pindaan RUU itu melibatkan 70 seksyen yang turut merangkumi pengenalan tiga seksyen baharu, meliputi prosedur baharu bagi pelanjutan hak milik bertempoh, cukai petak dan perserahan secara elektronik.
RUU yang dipinda kali terakhir pada 2008 itu juga bertujuan untuk menambah baik prosedur pendaftaran dan penyampaian perkhidmatan, sistem kutipan hasil, prosedur pelupusan dan pembangunan tanah.
Ia juga menyelaraskan dengan beberapa dasar dan keperluan semasa, di samping memperkasakan aspek penguatkuasaan.
Pindaan akta itu turut mengambil kira keperluan untuk menyediakan peruntukan yang berpadanan sesuai dengan pindaan kepada Akta Hakmilik Strata 1985 dan Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 2016 yang diluluskan Dewan Negara semalam.
Terdahulu, Senator Datuk Abdul Rahman Mat Yasin ketika membahaskan RUU itu berkata mendaftar tanah menggunakan teknologi elektronik antara pindaan RUU itu, merupakan pengubahsuaian yang sangat tepat dan sesuai mengikut peredaran masa kini.
"Mendaftar 100,000 lot tanah secara elektronik hanya mengambil masa dua bulan. Cuba bayangkan jika kita hendak mendaftarkan semua tanah lot itu secara manual," katanya.
Beliau juga berharap undang-undang mengenai urusan pentadbiran tanah itu boleh diguna pakai di negeri Sabah dan Sarawak berikutan Kanun Tanah Negara yang ada hanya berkuasa di Semenanjung Malaysia.
Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.
#Dewan Negara #RUU kanun Tanah Negara #Wan Junaidi
;