Hukuman gantung Nagaenthran: Kumpulan hak asasi serah memorandum kepada KDN
Umavathi Ramayah
April 22, 2022 14:23 MYT
April 22, 2022 14:23 MYT
PUTRAJAYA: Kumpulan hak asasi manusia, Anti-Death Asia Network (ADPAN) menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menggesa agar warga Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam yang dihukum gantung sampai mati atas kesalahan menyeludup dadah di Singapura dibawa pulang menerusi Program Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP).
Penyelaras Eksekutif ADPAN, Dobby Chew Chuan Yang berkata, langkah diplomatik itu adalah talian hayat terakhir bagi menghalang pelaksanaan hukuman gantung ke atas Nagaenthran yang dijadualkan pada Rabu minggu depan (27 April).
Dobby Chew memberitahu, permohonan itu juga dipanjangkan kepada pejabat Kementerian Luar namun dimaklumkan kuasa untuk memulakan prosiding tersebut adalah terletak di dalam ruang lingkup kuasa KDN.
"Meskipun kes seumpama ini tidak pernah berlaku di Malaysia, namun beberapa negara Eropah pernah membawa rakyat mereka pulang dari negara Asia Tenggara bagi menjalani baki hukuman di negara mereka menerusi perbincangan tertutup antara kedua-dua negara terbabit," katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum itu di hadapan bangunan KDN, di sini pada Jumaat.
Turut hadir Kordinator Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek dan wakil Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Kenneth Cheng.
Memorandum itu diterima oleh Timbalan Setiausaha Bahagian KDN, Mohd Rizal Hashim.
Dobby Chew menambah, Nagaenthran dikategorikan sebagai orang kurang keupayaan mental atau terencat akal dan justeru itu, kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk membela nasib banduan itu.
Tambahnya, adalah menyalahi undang-undang antarabangsa untuk melaksanakan hukuman mati ke atas seorang orang kurang keupayaan mental namun Singapura masih menafikan keadaan mental Nagaenthran.
Lelaki itu disahkan hanya ada tahap kecerdasan atau IQ serendah 69 dan dianggap orang kurang upaya kerana menghidap gangguan hiperaktiviti defisit perhatian.
Pada 29 Mac lalu, Mahkamah Rayuan Singapura menolak percubaan tertuduh untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar hukuman matinya.
Hukuman mati terhadap Nagaenthran kini akan diteruskan pada tarikh ditetapkan selepas panel lima hakim turut menolak permintaannya untuk menangguhkan hukuman sementara dia mencari panel pakar psikiatri bagi menilainya.