Hukuman gantung kes bunuh jutawan kosmetik Sosilawati kekal
Astro Awani
Oktober 8, 2024 12:00 MYT
Oktober 8, 2024 12:00 MYT
PUTRAJAYA: Bekas peguam, N Pathmanabhan dan dua lagi kekal dihukum gantung sampai mati atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi pada 2010.
Ringkasan AI
- Bekas peguam N. Pathmanabhan dan dua yang lain kekal dihukum gantung sampai mati atas kesalahan membunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga mangsa lain pada 2010.
- Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan hukuman mati oleh Pathmanabhan dan T. Thilaiyalagan, manakala R. Kathavarayan menarik balik permohonan semakannya.
- Mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka, dan keputusan itu dikekalkan setelah bukti mencukupi membuktikan kesalahan mereka.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim mahkamah persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat bersama Datuk Nordin Hassan, Datuk Abu Bakar Jais.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim selepas menolak permohonan semakan hukuman mati Pathmanabhan, 54, dan pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 32, untuk mengetepikan hukuman gantung itu.
Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun yang membacakan keputusan berkata panel sebulat suara menolak permohonan berkenaan, dan hukuman mati terhadap mereka dikekalkan.
“Permohonan ditolak, hukuman (gantung) dikekalkan,” kata Tengku Maimun.
Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, seorang lagi pemohon R. Kathavarayan, 44, menarik balik permohonan semakan hukuman mati itu.
Justeru Kathavarayan kekal dengan hukuman gantung seperti mana yang diputuskan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dan Tetralina Ahmed Fauzi.
Pemohon-pemohon diwakili peguam-peguam Amer Hamzah Arshad dan Manjeet Singh Dhillon.
Sebelum ini, semua perayu dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013, selepas didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pembantu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting, Selangor antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Pada 4 Disember 2015, Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Kathavarayan dan seorang lagi lelaki R.Matan dihukum gantung oleh Mahkamah Rayuan selepas gagal dalam rayuan mereka.
Kemudian pada 16 Mac 2017, tiga pemohon kecuali Matan kekal dihukum gantung sampai mati selepas mereka gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan atas pertuduhan itu.
Matan, 26, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan mendapati tiada bukti yang boleh mensabitkannya.
Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel hakim membuat keputusan berkenaan selepas mendapati ada banyak bukti yang lebih daripada mencukupi untuk mensabitkan ketiga-tiga perayu.
Arifin dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah manakala keterangan tiga tertuduh adalah penafian semata-mata.