Hukuman cuci tandas, kutip sampah bakal dipertimbang ke atas pesalah rokok
Bernama
Ogos 27, 2019 23:00 MYT
Ogos 27, 2019 23:00 MYT
Hukuman kerja sosial seperti membersihkan tandas, memungut sampah dan memotong rumput sedang dipertimbangkan bagi pesalah peraturan larangan merokok di tempat awam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
"Hukuman denda akan membuat orang berfikir kalau ada duit boleh buat kesalahan. Jadi, saya melihat kepada hukuman kerja sosial ini dengan teliti," katanya yang berpendapat hukuman kerja sosial lebih efektif.
Berucap pada majlis perjumpaan bulanan kementeriannya di sini hari ini, Dr Dzulkefly turut mengingatkan warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat dengan menghormati perintah larangan merokok berkenaan di premis KKM dan di tempat awam.
Sambil berseloroh, beliau yang menyifatkan peratus warga KKM yang masih merokok sebagai 'rahsia besar' di kementerian, dan terpaksa menerima hakikat ada warga kementeriannya sendiri tidak dapat berhenti daripada tabiat merokok.
Bermula 1 Jan 2019, peraturan larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran dan warung sama ada yang bertutup, berhawa dingin mahupun yang berkonsep terbuka termasuk di tepi jalan.
Perokok yang ditahan di kawasan larangan akan didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan bagi pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok pada awalnya ditetapkan selama enam bulan kemudiannya dilanjutkan sehingga akhir Disember ini.
Menurut Dr Dzulkefly, 129,180 premis sudah diperiksa sehingga kini dengan notis amaran larangan merokok sudah dikeluarkan mencecah 30,698.
-- BERNAMA
#Dr Dzulkefly Ahmad
#hukuman kerja sosial
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#membersihkan tandas
#memotong rumput
#memungut sampah
#peraturan larangan merokok