Hukuman buang sekolah masih relevan - Mahdzir Khalid

Astro Awani
Oktober 6, 2017 16:36 MYT
Selain itu, Mahdzir turut melihat tiada keperluan untuk membuka satu sekolah bagi mengumpulkan semua pelajar yang dibuang sekolah. - Gambar Astro AWANI
Hukuman buang sekolah masih relevan untuk dilaksanakan pada masa kini kerana ia merupakan bentuk akhir hukuman bagi pelajar bermasalah disipilin.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia adalah hukuman maksimum yang boleh dikenakan kepada pelajar bermasalah.
‘’Hukuman buang sekolah ini adalah paling maksimum bagi menangani pelajar terlibat dengan disiplin dan hal-hal berkaitan disiplin,’’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ziarah Kasih di sini, hari ini.
Selain itu, Mahdzir turut melihat tiada keperluan untuk membuka satu sekolah bagi mengumpulkan semua pelajar yang dibuang sekolah.
‘’Pada sayalah untuk membuka satu sekolah semata-mata untuk tujuan mengumpulkan pelajar yang bermasalah ini, saya ingat tidak pada waktu ini ..tak perlu lagi lah,’’ ujarnya.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pada Ahad mencadangkan agar tindakan buang sekolah yang dikenakan terhadap pelajar bermasalah di negara ini dikaji semula.
Menurut beliau, selepas dibuang sekolah, maka tiada sesiapa akan bertanggungjawab terhadap mereka sekali gus meningkatkan risiko untuk pelajar terlibat dengan pelbagai masalah lain termasuk jenayah.
Rohani sebaliknya mencadangkan agar semua pelajar bermasalah ditempatkan dalam satu kelas khas sebagai peralihan.
#jenayah #pelajar #pendidikan #Program Ziarah Kasih #Rohani Abdul Karim #sekolah #wanita
;