Hukuman buang sekolah bukan penyelesaian yang baik - Pakar Psikologi
Rahimah Abdullah
Oktober 6, 2017 15:02 MYT
Oktober 6, 2017 15:02 MYT
Hukuman buang sekolah ke atas pelajar bermasalah bukan satu jalan penyelesaian yang baik, ujar Pakar Psikologi Kanak-kanak Jabatan Pendidikan Psikologi & Kaunseling Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Mariani Md Nor.
Pada masa sama, tindakan menempatkan pelajar berkenaan ke sekolah lain susulan hukuman itu hanya akan mewujudkan masalah disiplin sama walaupun berada di lokasi berlainan.
"Kalau pelajar bermasalah itu dibuang sekolah, dan apabila kita kata buang sekolah ini, dia tidak akan ke sekolah dan dalam keadaan itu dia bebas ke mana-mana dia suka dan berlaku kesinambungan pelajar-pelajar yang bermasalah di sekolah lain.
"Jadi masalah dia sekarang ialah dia akan memberi masalah pula kepada tempat baharu yang dia pergi dan dia mungkin tidak akan diberi perhatian oleh komuniti sekolah itu. Mungkin dia akan diberi perhatian ibu bapa tetapi perhatian yang setakat mana ibu bapa itu berada dekat dengan dia?," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Jelasnya, seseorang pelajar yang mempunyai masalah disiplin perlu melalui program pemulihan khas yang dikendalikan pihak sekolahnya termasuk hukuman membersihkan sekolah, menghadiri kelas agama, atau kaunseling.
"Jadi hukuman buang sekolah ini sepatutnya bukan satu jalan penyelesaian yang baik sebenarnya. Ada banyak lagi alternatif yang lain. Kalau zaman 70an, 80an, mereka yang ada masalah disiplin, kita buat detention class, pelajar itu dihukum bersih sekolah, tandas, aktiviti yang dia tidak boleh balik sama seperti kawan dia. Kalau dulu kita diminta untuk menghadiri kelas pemulihan, yang mana kita diminta hadiri kelas agama, bimbingan dan kaunseling," tambah beliau.
Bagaimanapun katanya, guru disiplin juga perlu ada sikap berperikemanusiaan dalam melaksanakan program pemulihan di sekolah.
Ia berikutan hukuman yang lebih keras dan berat dikenakan sekolah hanya akan menyebabkan pelajar bermasalah bersikap memberontak dan menambahkan kecelaruan disiplin mereka.
Katanya lagi, isu pelajar bermasalah tidak akan selesai jika hukuman buang sekolah tidak ditangani secara berkesan dan pelajar dibimbangi mengalami tekanan perasaan serta sekali gus mengundang masalah kemurungan yang berisiko untuk membunuh diri atau melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.
"(Selepas dibuang sekolah), kalau ibu bapa bekerja, maka dia akan merayau-rayaulah. Dalam situasi ini, untuk dia mencari dahan untuk berpaut, tetapi tidak ada, maka dia akan buat apa-apa tanpa ada teguran atau nasihat orang yang sepatutnya," katanya lagi.
Semalam, seorang pelajar lelaki tingkatan tiga dilaporkan menggantung diri di bilik tidur di kediamannya di Klang Utama, dipercayai akibat dibuang sekolah dan ada masalah disiplin.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama ibunya telah ke sekolah kira-kira pukul 11 pagi untuk berjumpa dengan guru.