Hukum syarak, ketepatan sains tentukan tarikh Aidiladha - Datuk Noh Gadot

Hamzah Hamid
Oktober 7, 2014 15:37 MYT
Melihat anak bulan juga adalah ibadah kerana mengikut sunah Rasulullah SAW.
Umat Islam di Malaysia hari ini masih dalam suasana menyambut Hari Raya Aidiladha yang sudahpun ditentukan tarikhnya iaitu pada kelmarin (Ahad, 5 Oktober 2014). Ia disambut dengan penuh rasa keinsafan, kesyukuran dan penghayatan perkongsian melalui pelaksanaan ibadah korban yang amat dituntut.
Bukan sahaja menambat ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail sebagai korban, malah ibadah itu sendiri mampu melatih dan menyiapkan jiwa orang Islam supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat Allah demi kepentingan orang lain.
Begitupun, masih ada perkara yang membuatkan umat Islam tertanya-tanya iaitu soal penentuan tarikh Hari Raya Aidiladha yang banyak kali menyaksikan perbezaan antara pemerintah negara-negara Islam.
Sejauh manakah kita memahami soal penetapan tarikh sambutan berdasarkan hari wukuf di Arafah seperti yang diumumkan kerajaan Arab Saudi ataupun mengikut pengiraan rukyah dan hisab di negara ini? Perselisihan pendapat ini sering saja menimbulkan pelbagai reaksi dan pertembungan pendapat.
Mengambil contoh perkembangan di Jakarta, Indonesia misalnya, sebahagian umat Islam di bandaraya berpopulasi padat itu memilih untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada hari Sabtu (4 Oktober) lalu meskipun pemerintahnya menerusi Kementerian Agama telah menetapkan tarikh sambutan pada Ahad (5 Oktober), iaitu sama seperti di Malaysia.
Salah satu lokasi yang dilaporkan telah melaksanakan solat Aidiladha adalah di Masjid Agung Al-Azhar, Jakarta Selatan.
Mereka yang di masjid berkenaan berpendapat bahawa umat Islam perlu menyambut Hari Raya Aidiladha pada hari Sabtu lalu memandangkan Mahkamah Agung Arab Saudi menetapkan hari wukuf atau dikenali juga sebagai Hari Arafah yang bertarikh 9 Zulhijjah jatuh pada 3 Oktober iaitu pada hari Jumaat.
“Kita (Malaysia) dan Arab Saudi terlalu jauh dan sememangnya berjarak beberapa jam. Waktu solat juga berbeza. Maka dalam hal sebegini, adalah tidak salah sekiranya kita mengira ketepatan hari berpandukan aspek terbit matahari,” ujar Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadot.
Noh memberi contoh, pada akhir bulan Zulkaedah lalu, memang tiada anak bulan kelihatan. Bukan ‘tidak nampak’, tetapi memang ‘tidak ada’. Keputusan itu dicapai berpandukan pemerhatian dan juga kiraan tarikh mengikut ilmu sains yang sedia ada.
“Kedua-dua itilah itu berbeza. Kalau ‘tidak nampak’, anak bulan mungkin ada. Cuma mengikut perkiraan berlandaskan pencapaian manusia dalam ilmu sains, malam tersebut memang tiada anak bulan.
“Maka secara tidak langsung, hari esoknya masih dalam bulan Zulkaedah dan 1 Zulhijjah bermula selepas hari tersebut. Berlanjutan dari kiraan terbit matahari, dan kelaziman melihat anak bulan, maka telah ditetapkan bahawa tarikh Aidiladha kita jatuh pada hari Ahad lalu,” terang beliau.
Di Malaysia, kaedah penentuan Aidiladha adalah berpandukan rukyah dan hisab negara sendiri yang telah diputuskan oleh Majlis Raja-Raja Malaysia dalam mesyuaratnya kali ke-164 pada 3 Februari 1994. Ia diputuskan setelah mendengar pandangan dan syor Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah pada 22 Ogos 1992.
“Kaedah penentuan tarikh Hari Raya Aidiladha adalah dengan melihat anak bulan yang berdasarkan hisab. Malah dalam hadis, kita disunatkan untuk melihat anak bulan kerana itu juga dikira sebagai ibadah.
“Kita tidak boleh meninggalkannya kerana ia merupakan sunah Rasulullah SAW,” jelas beliau yang menekankan bahawa kewujudan ilmu sains dan teknologi canggih, ketepatan melihat anak bulan itu tidak boleh dipertikaikan.
Menurut beliau, setiap tahun, menteri-menteri agama dari Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia akan bertemu dalam pertemuan tidak rasmi menteri-menteri agama serantau. Dalam pertemuan itu, antara lain, kesepakatan tentang penetapan tarikh hari raya turut menjadi perbincangan.
“Kata sepakat memang boleh dicapai untuk umat Islam di rantau ini demi panduan bersama. Namun dalam kes-kes tertentu, seperti yang berlaku di Jakarta, kita tiada hak untuk ikut campur dengan hal yang terjadi di negara lain,” kata Noh.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar umat Islam di negara ini tidak meragui sambutan Aidiladha mereka, termasuklah permulaan dan pelaksanaan ibadah korban mahupun puasa sunat Zulhijjah.
“Tidak perlu ragu-ragu. Perkara ini dibuat dengan jelas dan berlandaskan hukum syarak dan ketepatan sains. Kedua-duanya perlu diambil kira,” ujar beliau.
#Aidiladha #anak bulan #korban #Noh Gadot #Raya
;