"Hujung-hujung Ramadan ini saya sentiasa berdoa ditemukan...." - Ebit Lew
Muhafandi Muhamad
Mei 9, 2021 13:17 MYT
Mei 9, 2021 13:17 MYT
KOTA BHARU: Sudah merata pelusuk daerah dikunjungi Ustaz Ebit Lew dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan.
Tanpa perlu protokol, pendakwah bebas itu merintis insiatif yang orang lain tidak pernah fikirkan.
Selain disokong oleh pasukan yang berdedikasi, kembara usaha kemanusiaan Ebit itu juga bersandarkan pada doa dan harapan yang tidak pernah putus-putus dipanjatkan kepada Allah agar memudahkan segala usahanya itu.
Antara doa Ebit kepada Allah setiap masa ialah menemukannya dengan golongan yang benar-benar terdesak dan perlu dibantu dan beliau akan berusaha untuk menjejakinya walau di hujung peta Malaysia sekalipun.
Bertuahnya pendakwa mualaf itu ialah, Allah sentiasa membuka jalan dan memberi kemudahannya untuk beliau memanjangkan rezeki kepada golongan sasaran.
Dan pada hari-hari terakhir bulan penuh kemuliaan Ramadan, Ebit terharu berkongsi cerita pertemuannya dengan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang melalui fasa hidup yang amat menyentuh emosinya.
Pertemuan itu kata Ebit, menjentik keinsafan buatnya apabila dimaklumkan kanak-kanak malang itu kehilangan ibu dan ayahnya akibat pandemik COVID-19 selain kehilangan tempat berteduh.
“Allah makbulkan doa saya untuk ditemukan dengan adik itu. Saya jumpa dia di Kuala Lumpur. Polis beritahu mak ayahnya meninggal dunia sebab COVID-19. Selepas kehilangan mak ayah, ada orang ambil pelihara dia tapi tidak lama, mungkin tidak sesuai dan pilih hidup di jalanan.
“Baru berusia 12 tahun, saya jemput dia naik kereta, bawa dia pergi membeli barangan keperluan diri. Saya dapat lihat baik sangat budaknya, budi pekerti dia sangat tinggi. Saya tanya pada diri saya sendiri kenapa baik sangat budak ini.
“Akhirnya, saya buat keputusan untuk beri peluang dia sambung belajar. Alhamdulillah, kita sudah hantar dia ke sebuah madrasah,”cerita Ebit kepada Astro AWANI ketika ditemui selepas berkunjung ke rumah seorang remaja yang tabah menjaga kakaknya orang kelainan upaya selepas ibu mereka ditahan pihak berkuasa, di sini, baru-baru ini.
Bagi Ebit, kerja-kerja kemanusiaan dan dakwahnya tidak akan pernah terhenti termasuk pada penghujung Ramadan dengan peluang dan ruang cuba direbutnya untuk menggandakan jariah.
“Hujung-hujung Ramadan ini saya sentiasa berdoa kalau boleh temukan saya dengan anak-anak yang ‘rumah’ mereka di bawah jambatan, kanak-kanak yang tidak ada peluang bersekolah dan mereka yang tak kenal mak dan ayah… bantu kamu untuk jumpa mereka,” Ebit berkongsi doa yang sentiasa dipanjatkannya.
Kerana mahu merebut ganjaran yang Allah tawarkan di bulan penuh keberkatan ini juga, Ebit reda harus meninggalkan amalan iktikaf di masjid yang lazimnya dilakukan beliau semata-mata kerana tidak sanggup melihat orang lain kelaparan, kesulitan dan serba kekurangan sekalipun mereka itu tidak hubungan darah dengannya.
Sepanjang melakukan kerja-kerja amal ini, Ebit tidak menolak kebarangkalian doa dan tangisan mereka yang memerlukan antara asbab beliau sampai dan diberikan peluang oleh Allah untuk menggalas tugas membantu.
Sementara itu, stesen televisyen Astro yang menerbitkan rancangan Jejak Ebit Lew akan meneruskan penerbitannya untuk musim kedua berikutan sambutan memberangsangkan diterima oleh penonton.
Menurut Penerbit Kanan Jejak Ebit Lew, Salina Sukaimi, sebanyak 24 episod sudah ditayangkan sepanjang musim pertama program itu
“Kita sudah hampir habis musim pertama (semuanya berjumlah) 30 episod… Insya-Allah kita akan ada musim kedua Jejak Ebit Lew,” kata Salina.
Jejak Ebit Lew merupakan sebuah program yang kandungannya adalah memberi tumpuan mis bantuan kemanusiaan pendakwah, usahawan dan dermawan tersohor itu bersama pasukannya menjelajah seluruh negara menghantar bantuan.
Cabaran dan kaedah bantuan yang ditampilkan Ebit membuatkan rancangan itu sentiasa dinantikan oleh penonton Astro Prima dan Astro On The Go.
#pendakwah
#Ebit Lew
#Ramadan
#Kota Bharu
#ganjaran Allah
#Dermawan
#Ustaz Ebit Lew
#Jejak Ebit Lew
#Astro