Hujan terlampau lebat punca banjir kilat di Janda Baik - MB

Ifti Femida
Mei 12, 2022 11:40 MYT
Wan Rosdy berkata, cerapan data stesen hujan di kampung terbabit menunjukkan bahawa taburan hujan awal pagi itu adalah sebanyak 19.5 milimeter dalam tempoh tiga jam. -Astro AWANI
KUANTAN: Hujan terlampau lebat yang turun di Janda Baik menjadi punca utama kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan berkenaan awal pagi semalam.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cerapan data stesen hujan di kampung terbabit menunjukkan bahawa taburan hujan awal pagi itu adalah sebanyak 19.5 milimeter dalam tempoh tiga jam.
“Kadar hujan 19.5 milimeter dalam tempoh tiga jam ini dikategorikan sangat lebat kerana taburan normal hujan adalah di bawah 10 milimeter,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook miliknya.
Beliau berkata, hujan terlampau lebat di kawasan hulu itu juga turut mengakibatkan berlakunya limpahan air dari sungai berhampiran.
“Ia juga lanjutan daripada keadaan sungai yang telah cetek disebabkan banjir besar pada 17 Disember tahun lalu,” katanya.
Jelasnya lagi, susulan kejadian banjir itu, beliau telah mengarahkan beberapa tindakan dilaksanakan dengan kadar segera khususnya bagi membantu mangsa banjir yang terkesan.
“Sebagai langkah awal, sebanyak 500 pek makanan dan bantuan lain seperti selimut, tuala dan air mineral yang diselaraskan oleh kerajaan negeri diagihkan kepada mangsa yang terlibat.
“Saya telah minta pek makanan dan bantuan ini ditambah dari masa ke masa dengan kadar segera,” katanya.
Selain itu menurutnya, bagi membantu kerja-kerja pasca banjir termasuk pembersihan rumah, Sukarelawan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) khususnya dari Bentong akan melakukan gerak kerja secepat mungkin.
“Ketika ini kerajaan negeri dan agensi yang terlibat sedang memberi tumpuan khusus kepada operasi penyaluran bantuan kepada mangsa banjir.
“Saya berharap agar semua mangsa yang terlibat tabah mendepani ujian ini. Insya-Allah, kerajaan negeri akan membantu semua yang terkesan dengan sehabis baik.
“Marilah kita sama-sama berdoa semoga mereka yang terlibat dikurniakan kekuatan dan ketabahan oleh Allah SWT,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi semalam sebanyak 140 keluarga membabitkan 450 orang mangsa terpaksa berpindah ke lokasi selamat selepas beberapa perkampungan di Janda Baik dilanda banjir kilat akibat hujan berterusan selama dua jam.
Antara kampung terjejas teruk termasuk Kampung Sum Sum, Kampung Pulau Santap, Kampung Chemperoh dan Kampung Cheringin.
BERITA BERKAITAN
Janda Baik dilanda banjir kilat, 42 keluarga berpindah
Banjir kilat di Janda Baik beransur pulih namun jumlah mangsa bertambah
Pejabat Daerah rancang strategi tangani banjir di Janda Baik
"Harta benda saya musnah sekelip mata" - Mangsa banjir kilat Janda Baik
Resort milik Tiara di Janda Baik turut terjejas banjir kilat
Banjir kilat: Kerajaan Pahang salur bantuan awal kepada 140 keluarga di Janda Baik
Cerita Sebalik Berita: Perkembangan banjir di Janda Baik
#banjir kilat #Wan Rosdy Wan Ismail #Janda Baik #cerapan data stesen hujan
;