Hujan, ribut petir fenomena biasa dalam tempoh peralihan monsun - MetMalaysia

Madiha Abdullah
April 16, 2021 12:38 MYT
Para peniaga bertungkus-lumus melindungi barangan perniagaan masing-masing apabila hujan lebat serta angin kencang melanda Bazar Ramadan Kampung Baru. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Cuaca buruk yang melanda terutama di sebelah petang kini bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan negara kini berdepan dengan tempoh peralihan monsun.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jailan Simon memaklumkan, situasi itu dijangka akan berlaku sehingga pertengahan Mei depan.
"Berdasarkan model ramalan dan analisis, kami jangkakan ada lagi cuaca buruk seperti ini dalam beberapa hari ini.
"Tetapi kami jangkakan ia akan baik minggu depan untuk tempoh seminggu, dan mungkin cuaca akan kembali buruk selepas itu sebelum menjadi semakin baik menjelang pertengahan Mei apabila Monsun Barat Daya bermula," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI.
Panggilan Video | Perkembangan cuaca hujan lebat dan angin kencang
Jailan juga tidak melihat situasi semasa sebagai cuaca ekstrem memandangkan ia fenomena biasa setiap tahun.
"Nak kata ekstrem tidak boleh juga kerana ia berlaku setiap tahun. Bulan April memang akan berlaku hujan dan ribut petir.
"Cuma adakalanya berlaku ribut petir yang lebih kuat daripada biasa dan ini agak sukar untuk dijangka. Tetapi bagi kami yang memantau cuaca, kami masih anggap ia normal dan berlaku setiap tahun," ujarnya.
Peralihan monsun bermula 16 Mac lalu membawa hujan lebat dan ribut petir kuat di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung sejak beberapa hari ini, dengan beberapa kejadian pokok tumbang dan khemah di bazar Ramadan diterbangkan angin kuat di Lembah Klang.
#cuaca #hujan lebat #ribut petir #Jailan Simon #Jabatan Meteorologi Malaysia #met malaysia
;