Hujan renyai iringi pengebumian jenazah Mohamad Fahmi Hafiz

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 21, 2025 16:00 MYT
Jenazah Mohamad Fahmi Hafiz, murid Tahun 4 yang meninggal dunia selepas tercekik gula-gula kenyal, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Binjai, Penaga, pada jam 3.20 petang tadi. -Astro AWANI
KEPALA BATAS: Jenazah murid Tahun 4, Allahyarham Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, yang meninggal dunia selepas tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Binjai, Penaga, jam 3.20 petang tadi.

Ringkasan AI
  • Jenazah Mohamad Fahmi Hafiz, murid Tahun 4 yang meninggal dunia selepas tercekik gula-gula kenyal, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Binjai, Penaga, pada jam 3.20 petang tadi.
  • Jenazah disolatkan di Masjid Jamek Permatang Binjai selepas solat Jumaat, dihadiri kira-kira 150 jemaah. Sebelum itu, jenazah dibawa pulang ke rumah neneknya untuk penghormatan terakhir.
  • Mohamad Fahmi Hafiz menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang selepas rebah ketika menghadiri Kelas Al-Quran dan Fardhu 'Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Jamek Permatang Binjai jam 2.45 petang selepas solat Jumaat yang dihadiri kira-kira 150 jemaah.
Terdahulu, jenazah Mohamad Fahmi dibawa pulang ke rumah neneknya, Hambiah Kassim di Kampung Permatang Binjai sebaik urusan bedah siasat di Jabatan Forensik Pulau Pinang selesai kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Ia bagi memberi peluang kepada sanak saudara serta rakan-rakan arwah memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa ke masjid untuk disolatkan.
Selain ibu bapa dan ahli keluarga terdekat, guru, rakan-rakan sekolah, serta pemimpin kawasan mengiringi perjalanan anak sulung daripada dua beradik itu ke negeri abadi dalam keadaan hujan renyai.
Mohamad Fahmi Hafiz menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 malam tadi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang.
Media pada Rabu melaporkan Mohamad Fahmi Hafiz rebah ketika menghadiri Kelas Al-Quran dan Fardhu 'Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth kira-kira jam 2.30 petang Selasa.
Mohamad Fahmi Hafiz dilaporkan kritikal di HPP selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.
#gula-gula kenyal berbentuk mata #Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin #selamat dikebumikan #Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Binjai #masjid jamek permatang binjai
;