Hujan, pencemaran bau punca K9 gagal kesan Zayn Rayyan
Sinar Harian
Februari 5, 2025 15:30 MYT
Februari 5, 2025 15:30 MYT
PETALING JAYA: Pencarian kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin oleh Unit Anjing Pengesan (K9) Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur tidak berhasil selepas berlaku hujan di kawasan kejadian.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Asistan Superintenden Nor Zaharuddin Sanip memaklumkan kawasan Blok R Pangsapuri Idaman, Damansara Damai Petaling Jaya yang didatangi oleh orang ramai telah menyebabkan pencemaran bau berlaku.
"Pencarian Unit K9 tidak berhasil kerana berlaku pencemaran bau disebabkan orang ramai masuk ke lokasi dan hari hujan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai saksi pendakwaan kelima pada prosiding hari ketiga perbicaraan kes pengabaian Zayn Rayyan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, di sini pada Rabu.
Ujarnya, misi pencarian berkenaan bermula jam 11.50 malam pada 5 Disember sehingga 1 pagi keesokannya.
Nor Zaharuddin yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Petaling Jaya turut mengarahkan pencarian diteruskan jam 11.30 pagi hingga 1 petang 6 Disember dengan radius lebih luas.
"Cuaca pada hari berkenaan tidak hujan dan dua ekor anjing Unit K9 digunakan.
Pencarian dipecahkan kepada tiga pasukan dengan menumpukan kawasan sebelah kanan sungai, parkir motosikal dan kereta penduduk," katanya.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan,6, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. -- Sinar Harian