Hujan lima jam, 18 rumah terjejas banjir di Muallim

Aida Aziz
Ogos 4, 2024 03:20 MYT
Sebanyak 18 buah rumah di Kampung Sri Behrang, Muallim, dinaiki air susulan banjir yang berlaku akibat hujan lebat berterusan selama lima jam pada Ahad. - Gambar ihsan APM Perak
MUALLIM: Sebanyak 18 buah rumah di Kampung Sri Behrang, di sini, dinaiki air susulan banjir yang berlaku akibat hujan lebat berterusan selama lima jam pada Ahad.
Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Daerah Muallim, faktor limpahan air sungai berhampiran juga menyebabkan banjir berlaku di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka memandangkan air mulai surut.
"Pada jam 10.02 pagi tadi, APM Muallim telah menerima panggilan daripada ketua kampung mengenai banjir yang berlaku di kawasan itu.
"Seramai empat anggota PKOD bergerak ke lokasi bagi memantau dan membuat penilaian risiko di kawasan banjir.
"Didapati kawasan kediaman dinaiki air kerana hujan berterusan selama lima jam.
"Keadaan pekarangan rumah penduduk dinaiki air pada paras 1.0 meter dan jumlah mangsa akan dikemas kini setelah laporan lengkap," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, cuaca di situ masih hujan renyai dan pihaknya akan memantau keadaan dari masa ke semasa bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini.
#banjir #banjir di Muallim #Kampung Sri Behrang #hujan lima jam