Hujan lebih lima jam, beberapa kawasan di Johor mula dinaiki air

Astro Awani
Oktober 22, 2019 18:49 MYT
Operasi pemindahan mangsa dijalankan dengan bantuan agensi berkaitan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan PDRM. - JBPM
Hujan lebat selama lebih lima jam sejak awal pagi Selasa menyebabkan beberapa kawasan di Johor dinaiki air, antaranya di Kampung Ulu Pulai dan Kampung Pulai.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Suraini Adnan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai berkata pihaknya menerima panggilan jam 1.19 petang.
Sebuah jentera dengan sembilan anggota digegaskan ke lokasi banjir yang menyaksikan air setinggi 5 kaki menjejaskan hampir 15 buah rumah.
Keadaan paras air juga dikatakan lebih cepat meningkat berikutan seiring dengan waktu air laut pasang.
Operasi pemindahan mangsa dijalankan dengan bantuan agensi berkaitan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan PDRM.
Selain Kampung Pulai dan Ulu Pulai, banjir kilat turut berlaku di Jalan Lurah 19, Kempas, Johor Bahru, yang melibatkan tiga buah rumah.
Difahamkan juga dua pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Pontian dibuka iaitu di Madrasah Parit Basilam dan Homestay Kampung Maju Jaya yang menempatkan 42 mangsa dari sembilan keluarga.
#Balai Bomba dan Penyelamat #banjir kilat #BBP #hujan #hujan lebat #Johor #mangsa banjir #Skudai #suraini adnan
;