Hujan lebat tidak halang 15,000 umat Islam munajat bersama PM Anwar
Hasimi Muhamad
Mac 11, 2023 21:02 MYT
Mac 11, 2023 21:02 MYT
KUALA LUMPUR: Hujan lebat tidak melunturkan semangat lebih 15,000 umat Islam menghadiri Program Selawat dan Munajat Perdana untuk Malaysia yang diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba sekitar pukul 7.53 malam diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang dipimpin Imam Masjid Shah Alam, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Makki.
Ia disusuli program selawat dan qasidah oleh Syabab EI-Mustofawiyah yang menjadi johan Festival Qasidah tahun lepas.
Antara tokoh yang hadir memberikan ceramah dan tausiyah ialah Pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar.
Anwar dijangka mengalunkan selawat Nuril Anwar dalam program bertemakan Mahabbah Rasullulah Asas Kejayaan Malaysia Madani itu.
Dalam masa sama, program berkenaan turut menampilkan tokoh agama antaranya johan qari antarabangsa, Amirahman Abbas dan Sheikh Razak al-Masri yang akan bersama-sama mengalunkan selawat.
Program itu dianjurkan Pertubuhan Dai Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).