Hujan lebat: Sembilan mangsa di Kampar ditempatkan di PPS

Aida Aziz
Oktober 1, 2024 10:15 MYT
Dua kawasan yang terjejas banjir merangkumi Kampung Batu 20, Kuala Dipang dan Kampung Pulau Pisang, Malim Nawar. - Foto APM
KAMPAR: Seramai sembilan orang daripada empat buah keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir, susulan hujan lebat berterusan malam tadi dan menjejaskan dua buah kampung di sini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kampar, Nazrul Fazami Mohamad pada Selasa, kesemua mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Dato Azman Mahalan, Kuala Dipang.
Katanya, dua kawasan yang terjejas banjir merangkumi Kampung Batu 20, Kuala Dipang dan Kampung Pulau Pisang, Malim Nawar.
Beliau berkata, PPS tersebut mula dibuka pada jam 11 malam tadi.
Sementara itu, Jabatan Meterologi Malaysia dalam kenyataan berkata, diramalkan hampir semua daerah di Perak akan hujan pada sebelah petang.
Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak berkata, beberapa kawasan di daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Kinta dan Muallim turut mengalami banjir kilat.
Katanya, antara kawasan yang terlibat di LMS termasuk Kampung Temelok, Trong, Kampung Wawasan, Trong dan Kampung Ulu Sepetang, Batu Kurau.
Di Kinta pula, Taman Kinta Mas Bercham, Taman Cempaka dan Kampung Ampang Baru serta di Muallim dekat Taman Sri Tanjong.
#hujan lebat #PPS #banjir #terkini
;