Hujan lebat, ribut petir tiada kaitan dengan La Nina - Madius
Bernama
Julai 14, 2016 07:53 MYT
Julai 14, 2016 07:53 MYT
Hujan lebat berserta ribut petir yang melanda ibu negara semalam tiada kaitan dengan fenomena La Nina sebaliknya negara ketika ini masih mengalami fasa Monsun Barat Daya (MBD).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata fasa MBD iaitu keadaan atmosfera adalah lebih kering, telah bermula sejak minggu ketiga Mei lepas dan dijangka berterusan hingga September ini.
Beliau berkata justeru, keadaan cuaca panas dan lebih kering ketika ini menyebabkan negara mengalami kurang taburan hujan berbanding pada musim-musim lain.
"Namun, hujan lebat dan ribut petir masih dijangkakan berlaku disebabkan kehadiran garis badai iaitu sekumpulan barisan awan ribut petir yang bergerak dari arah laut ke daratan.
"Kejadian ini boleh berlaku pada waktu subuh terutamanya di kawasan pantai di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, barat Johor, barat Sabah dan Sarawak," katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.
Petang semalam, ibu negara dilanda hujan dan ribut menyebabkan banjir kilat di beberapa lokasi serta banyak pokok tumbang hingga merosakkan lebih 10 buah kenderaan.
Hujan lebat berserta angin kencang itu turut menyebabkan beberapa laluan di ibu negara terhalang akibat pokok tumbang dan dahan pokok patah.
Madius berkata berdasarkan model-model iklim antarabangsa, fenomena La Nina berkemungkinan (kebarangkalian 50 hingga 75 peratus) akan berlaku selepas Ogos depan.
"Bagaimanapun, La Nina pada tahap lemah ini kebiasaannya tidak akan memberi kesan kepada taburan hujan dalam negara," katanya.