Hujan lebat: Penduduk mula lakukan persediaan alih kenderaan, haiwan ternakan
Bernama
Februari 4, 2023 12:58 MYT
Februari 4, 2023 12:58 MYT
KUALA KRAI: Susulan hujan lebat sejak minggu lepas di Kelantan, rata-rata penduduk yang menetap di kawasan rendah mula melakukan persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir melanda di kawasan penempatan mereka.
Tinjauan Bernama di beberapa kawasan tumpuan banjir mendapati segala persiapan telah dilakukan penduduk dengan mengangkat beberapa barangan perabot di tempat yang tinggi, meletakkan kenderaan di bahu jalan dan mengalihkan haiwan ternakan di kawasan selamat.
Penduduk dari Kampung Muring di Tanah Merah, Redzuan Seman, 32, berkata apabila hujan lebat berlaku, dia sering bimbang memikirkan keadaan rumahnya yang terletak berhampiran dengan sungai.
"Walaupun kadangkala hujan lebat akan berhenti seketika tetapi saya tidak ambil mudah sebab ketika ini masih lagi musim Monsun Timur Laut.
"Oleh itu, saya akan sentiasa pastikan dokumen penting dan barangan yang berada di rumah dalam keadaan selamat kerana apabila banjir berlaku saya tidak kelam-kabut nanti," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya, di sini hari ini.
Bagi Mohd Fadhlisyam Mohd Sekeri, 33, dari Kampung Batu Mengkebang di Kuala Krai pula, dia terpaksa mengalihkan tujuh ekor lembu miliknya ke tempat yang lebih tinggi kerana sungai yang berdekatan telah mula melimpah yang boleh menyebabkan haiwan ternakannya itu dibawa arus.
"Tempat tinggal haiwan-haiwan ini di kawasan yang rendah dan dekat dengan sungai, jadi apabila hujan lebat tidak henti setiap hari ia boleh menyebabkan paras air meningkat dan menyebabkan tempat itu dilimpahi air," katanya.
Sementara itu, menurut laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ setakat pukul 10 pagi tadi, Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 35.7 meter (m), manakala Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas pula berada pada paras amaran dengan bacaan 8.38 m.
-- BERNAMA