Hujan lebat, paras Sungai Lebir lepasi paras bahaya
Adam Darwish
Februari 4, 2023 21:40 MYT
Februari 4, 2023 21:40 MYT
KOTA BHARU: Susulan hujan lebat semalam, paras air di Sungai Lebir dekat Kuala Krai didapati melebihi paras bahaya iaitu 35.72 meter (bahaya 34 meter) setakat jam 4 petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kolonel Mohd Adzhar Mujab berkata, bagaimanapun, setakat ini keadaan itu tidak melibatkan perpindahan mana-mana penduduk.
Menurutnya Sungai Golok dekat Rantau Panjang juga turut melebihi paras amaran iaitu 8.66 meter (paras amaran 8 meter) dan trend menaik manakala Sungai Kelantan di Temangan kini pada paras berjaga-jaga iaitu 14.54 meter dengan trend menaik.
"Pihak APM akan sentiasa memantau keadaan paras air di kesemua kawasan bagi menggelak sebarang kejadian tidak diingini.
"Kita masih di dalam musim Monsun Timur Laut dan setiap anggota dan aset sentiasa bersedia bagi menghadapi apa jua kemungkinan," katanya ketika dihubungi.
Katanya, pemantauan penuh dan rondaan telah diaktifkan selain setiap anggota kini diletakkan dalam mod berjaga-jaga.
"Di sekitar Pasir Mas, kawasan yang sering dinaiki air seperti Kampung Lanchang, Tersang, Tok Deh, dan Air Muleh, pihak kami sentiasa membuat pemantauan.
"Kita juga menasihatkan penduduk agar segera membuat laporan ataupun mendapatkan bantuan sekiranya merasakan keadaan di kawasan kampung mereka berisiko dinaiki air," katanya lagi.