Hujan lebat lebih dua jam, Bandar Baharu dilanda banjir kilat

Adie Sufian Zulkefli
Februari 3, 2023 19:10 MYT
Hujan yang bermula jam 3 petang itu turut mengakibatkan empat buah kampung terjejas.- Foto APM
BANDAR BAHARU: Hujan lebat lebih dua jam mengakibatkan lima belas buah rumah dimasuki air selain beberapa kawasan terjejas akibat banjir kilat di daerah Bandar Baharu, di sini hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Lt (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, hujan yang bermula jam 3 petang itu turut mengakibatkan empat buah kampung terjejas iaitu Kampung Paya Semambung, Kampung Kilang Batu, Kampung Tengah dan Kampung Balai Lama.
“Anggota APM telah melakukan pemantauan mendapati paras air Sungai di Kampung Tengah berada dalam keadaan waspada serta air sungai bergerak dalam keadaan laju.
“Aliran air deras juga turut mengakibatkan jalan perhubungan di Mukim Relau terputus tidak dapat dilalui kenderaan ringan.
“Anggota turut membantu mangsa mengalihkan barangan ke tempat selamat selepas air deras memasuki rumah penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun menurut Abdul Rahim, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan buat masa ini.
Justeru beliau menasihati penduduk supaya menyimpan dokumen penting untuk dibawa sekiranya arahan untuk berpindah dikeluarkan berikutan paras air semakin meningkat.
#banjir kilat #Bandar Baharu #hujan lebat #banjir
;