Hujan lebat, KL banjir lagi
Sinar Harian
Mei 25, 2022 14:21 MYT
Mei 25, 2022 14:21 MYT
KUALA LUMPUR: Hujan lebat sekitar jam 10. 30 pagi dan berterusan hampir dua jam pada Rabu telah menyebabkan beberapa jalan di ibu kota ditakungi air.
Menerusi Facebook Polis KL memaklumkan, setakat jam 12.20 tengah hari, sebanyak sembilan lokasi terjejas iaitu Jalan Sultan Azlan Shah dari arah Jalan Ipoh, Jalan Imbi ke arah Jalan Sultan Ismail, Jalan Ipoh/Jalan Rahmat, Jalan Sultan Ismail/ Ampang dan Jalan Kampar off Jalan Sentul.
Menurut kenyataan itu, lokasi lain turut terjejas adalah Bulatan Dato, Kampung Periuk, Jalan Duta Mas dan Jalan Ampang serta Jalan Dang Wangi.
"Jalan Sultan Azlan Shah dari arah Jalan Ipoh, Jalan Imbi ke arah Jalan Sultan Ismail dan Jalan Sultan Ismail/Jalan Ampang mengalami banjir namun masih boleh dilalui kenderaan.
"Anggota berada di lokasi berkenaan bagi tujuan pemantauan," menurut kenyataan itu pada Rabu.
Tambah kenyataan itu, air bertakung di Jalan Ipoh/Jalan Rahmat telah menyebabkan penutupan laluan dari arah Bulatan Pahang ke Jalan Ipoh dan Jalan Raja Laut ke arah Jalan Ipoh dilakukan.
Kata kenyataan itu, air bertakung di Jalan Ampang dan Jalan Dang Wangi disebabkan longkang tersumbat menyebabkan air tidak boleh dialirkan.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kemas kini di Facebook rasminya memberitahu, petugas DBKL bersama jentera telah berada di lokasi Jalan Dutamas untuk kerja-kerja selenggara bagi mengelakkan air bertakung dan kawalan lalu lintas.
Artikel asal di Sinar Harian