Hujan lebat India: 12 rakyat Malaysia tidak dapat dihubungi
Astro Awani
Julai 12, 2023 12:40 MYT
Julai 12, 2023 12:40 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengesan 12 rakyat Malaysia di negara itu.
Ini susulan laporan berhubung sekumpulan rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarga masing-masing selepas kejadian banjir baru-baru ini.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, kumpulan tersebut tidak dapat dihubungi berikutan fenomena hujan lebat yang melanda wilayah utara India pada 9 Julai lalu.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dimaklumkan bahawa, kumpulan itu sedang menyertai ekspedisi pengembaraan di Hampta Pass, Himachal Pradesh, India.
"Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia juga akan terus memantau perkembangan di Himachal Pradesh.
"Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk berhubung terus dengan pihak suruhanjaya menerusi talian +91 85955 50594 atau emel ke mwdelhi@kln.gov.my," menurut kenyataan itu.
Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan terus berwaspada serta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca di setiap lokasi yang dikunjungi.
Sebarang perkembangan terkini mengenai status rakyat Malaysia yang terkesan dalam kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, hujan lebat sejak Sabtu (8 Julai) dilaporkan melanda wilayah utara India, mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa manakala infrastruktur jalan raya rosak di kebanyakan negeri.
Antara lain, di Himachal Pradesh, Uttarakhand, Punjab dan Haryana, terdapat laporan mengenai lebuh raya rosak, air sungai meningkat dan tanah runtuh.