Hujan lebat di Sabah, Sarawak hingga Ahad

Bernama
Januari 15, 2021 16:55 MYT
Sepanjang tempoh itu juga kawasan pantai Sarawak dan Sabah dijangka dilanda angin kencang.
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak hingga Ahad.
Menurut kenyataan MetMalaysia hari ini, kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah di Sarawak serta Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan di Sabah dijangka menerima hujan lebat hari ini.
Keadaan itu dijangka berterusan hingga Ahad di kawasan Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang di Sarawak serta pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat dan Kudat di Sabah serta Labuan.
Sementara itu, menurut kenyataan yang dikemas kini pada 11.30 pagi, sepanjang tempoh itu juga kawasan pantai Sarawak dan Sabah dijangka dilanda angin kencang.
"Angin kencang timur laut berkelajuan hingga 60 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan dalam tempoh itu.
"Angin kencang timur laut berkelajuan hingga 50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter juga boleh berlaku di perairan Sabah Timur," demikian menurut kenyataan tersebut.
Kejadian itu boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit.
-- BERNAMA
#MetMalaysia #cuaca buruk #Sabah #Sarawak #amaran cuaca waspada #ombak besar #angin kencang #hujan lebat
;