Hujan lebat cetus banjir kilat, ratusan kenderaan terkandas di Johor Bahru

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 2, 2022 16:53 MYT
Tinjauan Astro AWANI di kawasan tempat letak kereta di Jalan Ayer Molek mendapati, orang ramai sedang berusaha membawa kenderaan mereka ke tempat yang lebih tinggi. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Lebih 500 kenderaan ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di Johor Bahru hari ini.
Hujan lebat kira-kira satu jam sejak pukul 12 tengah hari itu turut menyebabkan beberapa jalan utama di bandar raya ini dinaiki air.
Antaranya Jalan Yahya Awal, Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Mahmoodiah, Jalan Kolam Ayer, Kampung Mohd Amin dan kawasan Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Sementara itu seorang pekerja swasta, Aliyas Said berkata kejadian banjir kilat ini adalah yang terburuk dialaminya dalam tempoh 10 tahun.
Katanya sebelum ini, pernah terjadi kejadian banjir kilat tetapi tidak sehingga kereta ditenggelami air sehingga ke paras bonet.
"Kejadian berlaku tengah hari waktu rehat, masa tu hujan turun lebat sangat, tengok dah tenggelam.
"Paras separuh melepasi tayar, kerja di bangunan sini, tunggu reda sikit panggil kawan-kawan tolak ke tepi...dah banyak kali dah (berlaku)," katanya.
Tinjauan Astro AWANI di kawasan tempat letak kereta di Jalan Ayer Molek tengah hari tadi mendapati orang ramai sedang berusaha membawa kenderaan mereka ke tempat yang lebih tinggi.
Kelihatan juga Skuad Kilat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang turut membantu membersihkan saliran air yang tersumbat di kawasan tersebut.
#banjir kilat #hujan lebat #Johor Bahru #kereta tenggelam
;