Hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka di Kelantan, Terengganu hingga Isnin

Bernama
November 25, 2023 17:31 MYT
GAMBAR FAIL: Anggota polis mengawal lalu lintas setelah air mulai naik berikutan hujan lebat semasa tinjauan di Jalan Sultan Omar pada 20 Nov 2023. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka melanda beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu sehingga Isnin ini (27 Nov).
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan amaran di Kelantan itu membabitkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Sementara di Terengganu melibatkan kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang, menurut kenyataan itu.
METMalaysia turut meramalkan hujan berterusan tahap buruk bagi tempoh sama di Perak iaitu di Hulu Perak, Kelantan (Gua Musang) serta Terengganu (Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman).
Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada pula dijangka di Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta Perak membabitkan kawasan Kerian; Larut, Matang dan Selama; Kuala Kangsar; serta Manjung manakala Pahang di kawasan Jerantut dan Kuantan sehingga Isnin ini.
-- BERNAMA
#hujan lebat #tahap bahaya #Kelantan #terengganu
;