Hujan lebat berterusan dijangka bermula Ahad ini

Sinar Harian
Disember 6, 2024 07:40 MYT
Luruan monsun dijangka berlaku bermula Ahad sehingga 14 Disember ini yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan di tujuh negeri. - Gambar hiasan/BERNAMA
SHAH ALAM: Luruan monsun dijangka berlaku bermula Ahad sehingga 14 Disember ini yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan di tujuh negeri.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Mohd Hisham Mohd Anip berkata, luruan monsun berskala lemah hingga sederhana itu dijangka turut melanda Sarawak dan Sabah, termasuk negeri-negeri di barat Semenanjung apabila intensiti luruan semakin kuat.
Ujarnya, luruan monsun juga akan menyebabkan angin kencang dan keadaan laut bergelora di Laut China Selatan.
“MetMalaysia sentiasa pantau luruan monsun yang dijangka berlaku dalam seminggu bermula 8 Disember. Susulan itu, kita telah keluarkan amaran sehingga 11 Disember dan akan dikemas kini berdasarkan maklumat terkini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambahnya, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan tujuh negeri sehingga 11 Disember, yang dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Johor.
“Bagi Kedah meliputi daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling. Perak di Hulu Perak selain Pahang di kawasan Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Sementara di Johor melibatkan daerah Mersing dan Kota Tinggi bermula 9 Disember,” katanya.
Tambahnya, negara mengguna pakai beberapa model ramalan cuaca sebelum memuktamadkan ramalan untuk hebahan umum.
“Disebabkan itu, orang ramai diminta merujuk kepada maklumat daripada MetMalaysia sama ada di laman web, aplikasi myCuaca atau media sosial rasmi untuk dapatkan maklumat terkini dan sahih,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantaran di media sosial yang mendakwa akan berlaku hujan lebat sepanjang 10 hari akan datang sekitar Asia Tenggara termasuk Malaysia. - Sinar Harian
#hujan lebat #banjir2024 #monsun timur laut #Bah Kuning
;