Hujan lebat berterusan akibatkan banjir kilat di Kangar
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 16, 2022 16:56 MYT
Oktober 16, 2022 16:56 MYT
KANGAR: Hujan lebat berterusan sejak awal pagi mengakibatkan beberapa kawasan di Kangar dilanda banjir kilat awal pagi Ahad.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, antara kawasan terjejas adalah Titi Chai, Kampung Sentua, Kampung Seriab dan Kampung Bakau.
“Terdapat rumah penduduk yang berada di kawasan rendah dimasuki air sedalam 0.5 hingga 0.9 meter.
“Bagaimanapun dalam pemantauan anggota APM tiada mangsa yang dipindahkan selepas air mulai surut jam 12 tengah hari.
“Tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka namun pemantauan terutama di kawasan 'hotspot' dan sungai yang berada pada status kuning (berjaga-jaga) terus dilakukan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sementara itu seorang peniaga kedai makan, Ahmad Lutfi Hamid, 34, berkata hujan lebat yang turun sebelum Subuh menyebabkan kawasan di Titi Chai dinaiki air melepasi paras buku lali.
"Hujan lebat kemudian tak berhenti menyebabkan kawasan ini dinaiki air dan mujurlah ia tidak menyebabkan air masuk ke dalam kedai.
"Tetapi perniagaan saya agak terjejas kerana pelanggan tidak dapat datang kerana seluruh jalan digenangi air,” katanya.
Penduduk Kampung Sentua, Ruminah Sabri, 50, berkata, air naik dengan cepat menyebabkan dia tidak sempat memindahkan barangan seperti perabot dan peralatan rumah ke tempat tinggi.
“Banyak juga barangan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk rosak selepas air masuk ke dalam rumah,” ujarnya.