Hujan lebat, beberapa kawasan di Seberang Perai dilanda banjir kilat
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 3, 2023 21:14 MYT
Februari 3, 2023 21:14 MYT
SEBERANG PERAI: Hujan lebat berterusan sejak jam 4 petang di Pulau Pinang menyebabkan beberapa kawasan di Seberang Perai dilanda banjir kilat.
Antara kawasan yang dinaiki air ialah Jalan Sungai Baong, Jalan Sungai Duri, Relau dan Sungai Bakap dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS) serta Bertam, di Seberang Perai Utara (SPU).
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang hari ini, beberapa buah rumah telah ditenggelami air dengan paras dua kaki dan juga berlaku limpahan air di jalan raya.
Menurut kenyataan tersebut, tindakan pemantauan banjir di kawasan terlibat sedang dilakukan dan keadaan di lokasi dalam keadaan terkawal.
Tiada mangsa yang dipindahkan serta pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
Mengikut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ribut petir dan hujan dijangka berlaku pada petang hingga malam di beberapa negeri termasuk di Pulau Pinang.