Hujan lebat, angin kencang landa Bandaraya Ipoh
Bernama
April 28, 2017 23:04 MYT
April 28, 2017 23:04 MYT
Hujan lebat serta angin kencang yang melanda Bandaraya Ipoh menyebabkan beberapa insiden pokok tumbang, namun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Antara yang tumbang adalah Pokok ''Ipoh'' yang ditanam sejak 37 tahun lalu di hadapan Stesen Keretapi Ipoh di sini.
Ia ditanam pada 18 Jan 1980 oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh bersempena ulang tahun ke-50 Kelab Rotary Ipoh.
Selain itu, pokok setinggi bangunan lima tingkat turut tumbang berhampiran lampu isyarat di First Garden di sini.
Penolong Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh Kamaruzaman Subari berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 4.06 petang tadi.
"Pokok itu telah menutup jalan ke arah pusat bandar dan Silibin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Seramai 12 anggota termasuk seorang pegawai serta dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja pengalihan pokok yang turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, katanya.
-- BERNAMA