Hujan lebat, angin kencang dijangka sebelah petang, malam

Sinar Harian
Oktober 23, 2022 17:24 MYT
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan angin kencang pada sebelah petang hingga awal malam di kebanyakan negeri. - Gambar hiasan/BERNAMA
SHAH ALAM: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan angin kencang pada sebelah petang hingga awal malam di kebanyakan negeri di Semenanjung, utara Sarawak, barat Sabah dan Labuan.
MetMalaysia dalam kenyataannya memaklumkan, ia susulan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca MetMalaysia (MET-WRF), Pusat Ramalan Cuaca Julat-Sederhana Eropah (ECMRWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS) menjangkakan penumpuan angin yang sedang berlaku di Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah dan berkemungkinan berlanjutan sehingga penghujung bulan Oktober 2022.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan pembentukan awan ribut petir yang boleh membawa hujan lebat dan angin kencang pada sebelah petang hingga awal malam di kebanyakan negeri di semenanjung, utara Sarawak, barat Sabah serta Labuan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya dalam siaran di Facebook pada Ahad. -- Sinar Harian
#MetMalaysia #amaran hujan lebat #angin kencang #Amaran Cuaca
;