Hujan lebat akibatkan beberapa kes pokok tumbang di Sungkai

Aida Aziz
November 16, 2022 23:51 MYT
Antara kawasan yang terjejas akibat insiden itu ialah berdekatan Klinik Kesihatan Menderang dan Jalan Kebun, Felda Sungai Klah. - Gambar/ JBPM
SUNGKAI: Hujan lebat berterusan pada lewat petang Rabu mengakibatkan beberapa insiden pokok tumbang termasuk menghempap rumah di sekitar kawasan Sungkai.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, antara kawasan yang terjejas akibat insiden itu ialah berdekatan Klinik Kesihatan Menderang dan Jalan Kebun, Felda Sungai Klah.
"Pihak bomba terima panggilan berhubung dua kes pokok tumbang di dua kawasan di sini pada jam 5.51 petang dan 7.52 malam tadi.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor bergerak ke lokasi kejadian pertama dan mendapati sebatang pokok menghempap bahagian dapur rumah, bagaimanapun tiada mangsa terlibat.
"Operasi terpaksa ditangguhkan akibat daripada keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan ia akan diteruskan pada esok pagi," katanya dalam kenyataan pada Rabu malam.
Sementara itu, katanya lagi bagi kes kedua di Jalan Kebun, Felda Sungai Klah, didapati terdapat dua batang pokok tumbang merintangi jalan.
"Operasi memotong pokok dilakukan dengan menggunakan gergaji dan kemudiannya anggota bomba mengalihkan potongan pokok ke tempat selamat, tiada mangsa yang cedera atau terlibat akibat kejadian itu," katanya lagi.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Nasir Ibrahim itu tamat pada jam 8.46 malam.
#banjir #hujan lebat #Pokok tumbang #Sungkai
;