Hujan lebat akibatkan banjir, tanah runtuh di Tuaran, Sabah
Bernama
April 10, 2022 12:03 MYT
April 10, 2022 12:03 MYT
TUARAN: Hujan lebat sejak beberapa hari lalu di Sabah mengakibatkan kejadian banjir dan tanah runtuh di beberapa kampung di daerah ini pagi ini.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata beberapa kawasan di sini terjejas akibat banjir iaitu Kampung Bunga Tengilan, Kampung Bundung, Kampung Suang Bangau, Kampung Paruh, Kampung Tinuhan dan Pekan Tengilan.
Beliau berkata Jambatan Lama Tamparuli telah dinaiki air menyebabkan jalan itu tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan pagi ini, manakala paras air Sungai Tuaran pada pagi ini pada aras waspada.
"Tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini kerana keluarga terjejas banjir berpindah ke rumah keluarga lain, cuaca pada pagi ini adalah baik," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Tuaran merupakan sebuah daerah berkeluasan 1,165 km persegi di pantai Barat Sabah terletak lebih 32 kilometer dari Kota Kinabalu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata hujan lebat itu juga menyebabkan lima rumah terjejas berikutan kejadian tanah runtuh di Skim Penempatan Telipok di sini awal pagi ini.
Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada 5.59 pagi sebelum ke lokasi kejadian sejauh 26 kilometer, dan setakat ini tiada mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.
"Pemilik rumah yang terjejas telah diminta untuk mengosongkan kediaman masing-masing kerana pergerakan tanah masih berlaku. Operasi ditamatkan kira-kira 7.16 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
-- BERNAMA