Hujan lebat 4 jam, perumahan, jalan di UUM Sintok dinaiki air

Adie Sufian Zulkefli
November 14, 2022 12:38 MYT
Anggota APM mengukur kedalaman air di Jalan UUM yang dinaiki air. - Gambar/ APM
KUBANG PASU: Hujan lebat lebih empat jam menyebabkan air di Sungai Sintok melepasi paras bahaya dan melimpah di kawasan rendah, mengakibatkan dua kawasan perumahan serta Jalan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok dinaiki air.
Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, Taman Alma dan Perumahan UUM Sintok dinaiki air sedalam 0.5 hingga satu meter.
“Hujan skala lebat mula turun jam 2 petang tadi dan hanya berhenti seketika sebelum kembali lebat.
"Anggota APM telah dihantar ke dua lokasi terbabit untuk melakukan pemantauan dan memindahkan mangsa jika paras air makin meningkat dan keselamatan terancam,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
IKUTI SEGALA MAKLUMAT TENTANG BANJIR DI SINI
Muhammad Suhaimi berkata, setakat ini tiada mangsa dipindahkan dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Katanya, ketika ini hujan lebat masih berlaku dan penduduk yang tinggal di berhampiran sungai diminta supaya bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
#banjir #Kedah #UUM Sintok #Sungai Sintok