Hujan lebat: 10 kenderaan rosak ditimpa pokok

Bernama
Ogos 22, 2022 15:10 MYT
Skuad penyelamat DBKL bersama anggota polis melakukan kerja-kerja memotong dan mengalihkan dahan pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang di Jalan Kuching. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh kereta dan tiga buah motosikal rosak ditimpa pokok di lapan lokasi sekitar ibu kota susulan angin kencang dan hujan lebat yang berlaku kira-kira 4 hingga 6 petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kejadian kereta rosak akibat pokok tumbang dilaporkan di hadapan sebuah kondominium di Bukit Kiara melibatkan dua buah kereta.
"Kejadian di Bukit Tunku dan Jalan Kuang masing-masing melibatkan sebuah kereta, di Kampung Kasipillay pula melibatkan sebuah kereta yang dinaiki oleh dua individu, mereka bagaimanapun tidak mengalami apa-apa kecederaan.
"Selain itu, kejadian di Damansara Height pula melibatkan sebuah kereta manakala di Stesen Bas Jalan Duta sebuah kereta dan tiga buah motosikal rosak ditimpa pokok tumbang," katanya ketika dihubungi malam ini.
Menurutnya, kejadian yang sama di Taman Duta dan di Hadapan Kompleks KDN di Jalan Duta, di sini, tidak melibatkan apa-apa kerosakan kenderaan.
-- BERNAMA
#ribut di Kuala Lumpur #hujan lebat KL #Pokok tumbang #bomba