Hujan buatan redakan jerebu, IPU Sri Aman tidak lagi di paras bahaya

Rudi Affendi Khalik
September 21, 2019 08:24 MYT
Anggota TUDM memasukkan tangki khas berisi larutan garam ke dalam pesawat Hercules C-130 pada Operasi Pembenihan Awan di Pangkalan Udara TUDM Kuching pada Jumaat, 20 Sept, 2019. --fotoBERNAMA
Tidak lama, namun hujan sekejap-sekejap di wilayah selatan Sarawak sejak malam tadi berjaya membantu menurunkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini pagi ini.
Di Sri Aman, hujan turun malam tadi dan awal pagi membantu mengurangkan jerebu, dengan IPU yang direkodkan 417 (tahap berbahaya) sekitar jam 11 pagi semalam merosot kepada 216 (sangat tidak sihat) pada jam 7 pagi ini.
Kuching yang turut menerima hujan awal pagi tadi merekodkan bacaan 183 pada jam 7 pagi ini, berbanding 249 pada jam 8 pagi semalam.
Ia dipercayai kejayaan awal hasil pembenihan awan yang dilakukan semalam.
Proses tersebut menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, akan diteruskan pagi ini.
BACA: Kualiti udara Sri Aman tahap bahaya, IPU lebih 410
Sehingga jam 6 pagi tadi, terdapat dua titik panas dikesan di Sarawak, dengan kedua-duanya di Marudi.
Manakala 544 titik panas dicerap di Kalimantan.
Sementara itu, Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, hujan lebat selama sejam malam tadi telah membantu memadamkan kebakaran di permukaan tanah di Kampung STC di Sri Aman.
"Namun kebakaran gambut masih lagi berlaku dan dianggar melibatkan kawasan seluas 40 ekar secara bertompok.
"Setakat ini kawasan terjejas adalah seluas 133 ekar, dengan kawasan yang masih terbakar sekitar 40 ekar," katanya.
BACA: Jerebu cecah paras bahaya, aktiviti penduduk Sri Aman mula terjejas
Menjangkakan api akan kembali marak, Ling Hii berkata, khidmat bom air akan terus digunakan menerusi pesawat Bombadier Maritim Malaysia dan helikopter MI-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Pada masa yang sama jelasnya, bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam turut digunakan untuk melaksanakan pemadaman agresif.
#bom air #bomba #IPU #jerebu #Kampung STC #kebakaran #Kuching #pembenihan awan #pesawat #Sarawak #tentera #Tiong Ling Hii #titik panas
;