Hujan berterusan dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu hingga Rabu
Bernama
Januari 22, 2024 21:42 MYT
Januari 22, 2024 21:42 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di tujuh lokaliti di Kelantan dan seluruh Terengganu hingga Rabu ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan lokaliti di Kelantan membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.
Sementara itu, berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah mangsa banjir di Segamat, Johor kekal dengan 19 orang seperti dilaporkan pada tengah hari tadi.
Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran pula mendapati beberapa sungai berada di paras bahaya antaranya Sungai Kedah, Sungai Kelantan serta Sungai Rompin.
Situasi sama turut dihadapi oleh Sungai Arau, Sungai Kinabatangan, Sungai Salim Batang Rajang dan Sungai Terengganu.
-- BERNAMA