Hujan berterusan di Sabah, Bung Moktar arahkan JKR teliti cerun-cerun berisiko

Astro Awani
Disember 17, 2022 14:26 MYT
Bung Moktar mengarahkan JKR Sabah meneliti cerun-cerun berisiko berdepan runtuhan tanah.
KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah diatur gerak untuk meneliti cerun-cerun yang berisiko rosak atau berdepan runtuhan susulan keadaan cuaca yang tidak menentu di negeri itu.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, atur gerak itu sudah dilaksanakan pasukan JKR selain pemantauan keadaan cerun berisiko dipantau dari semasa ke semasa.
"Melihat kepada kejadian yang berlaku di Batang Kali, Hulu Selangor saya selaku menteri bertanggungjawab di Sabah telah meminta JKR meneliti cerun-cerun yang berisiko terutama pada musim terkujuh ini.
"Seperti mana sedia maklum, hujan tanpa henti termasuk di Sabah, saya berharap perkara ini dapat kita teliti dengan baik kerana kita tidak mahu kejadan seumpama (tragedi Batang Kali) berlaku di mana-mana," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Sabah cukup terkenal dengan lokasi pelancongan tanah tinggi dan beberapa kawasan rekreasi percutian.
Dalam kejadian awal pagi Jumaat, 21 daripada 94 mangsa meninggal dunia akibat kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya.
Setakat Sabtu, 12 orang lagi dilaporkan masih hilang.
Seramai 135 petugas SAR yang pakar dengan kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.
AWANI Ringkas: Operasi carilamat tragedi Batang Kali diteruskan, fokus dua kawasan
#JKR Sabah #Bung Moktar Radin #Cerun berisiko #meninggal dunia
;