Hujan berterusan, beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat

Bernama
September 7, 2024 22:45 MYT
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas ialah di sekitar Bayan Lepas dan Bayan Baru di bahagian pulau melibatkan laluan di Jalan Mayang Pasir, Jalan Mahsuri, Jalan Tun Dr Awang dan Kampung Jawa. - Facebook JBPM/Bernama
GEORGE TOWN: Hujan lebat berterusan sejak pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir kilat.
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas ialah di sekitar Bayan Lepas dan Bayan Baru di bahagian pulau melibatkan laluan di Jalan Mayang Pasir, Jalan Mahsuri, Jalan Tun Dr Awang, Kampung Jawa, Lintang Nibong dan Sungai Ara manakala Seberang Perai membabitkan kawasan di sekitar Kepala Batas dan Bertam.
Berdasarkan video serta gambar yang dimuat naik melalui media sosial, banjir yang berlaku turut menyebabkan beberapa kenderaan hampir tenggelam.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan pada 2.20 petang tadi dan menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak untuk membantu mengalihkan kenderaan yang terkandas akibat banjir kilat di Lebuh Nipah 2 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Nibong Bayan Lepas.
"Banjir kilat yang berpunca daripada hujan lebat ini telah menyebabkan jalan raya ditenggelami air sedalam 0.3 meter dan terdapat beberapa kereta terkandas.
"Tindakan mengalihkan kenderaan ke tempat selamat telah dibuat dan tidak melibatkan mangsa. Keadaan terkawal dan banjir juga telah beransur surut, namun pemantauan masih dilakukan," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak Fahmi Zainol meninjau keadaan banjir di sekitar Sunshine Bayan Baru dan aduan turut dibuat kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melakukan pemantauan.
Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata hasil rondaan di sekitar kawasan panas banjir di Bayan Baru pada 7.30 malam tadi mendapati kawasan terlibat seperti Jalan Mahsuri, Jalan Mayang, Sunshine Square, Bukit Jambul dan Jalan Tengah serta sekitar kawasan perumahan di Bayan Lepas mendapati air telah pun surut.
Beliau berkata pihaknya turut dimaklumkan banjir kilat yang berlaku berkemungkinan disebabkan paras air laut yang tinggi serentak dengan hujan lebat yang luar daripada kebiasaan.
Fahmi berkata melalui Program Adaptasi Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi Pulau Pinang (PNBCAP), kerajaan negeri akan membina kolam takungan di Taman Lintang Nibong dalam Daerah Barat Daya dan projek yang menelan kos RM5.1 juta itu kini pada peringkat penilaian tender serta dijangka dimulakan pada November ini.
"Kedua ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bayan Baru Fasa 2 yang menelan kos RM10 juta. Projek itu akan dibentangkan bagi kelulusan cadangan reka bentuk akhir kepada Jawatankuasa Teknikal Rekabentuk dan dijangka dimulakan pada Januari 2025," katanya.
-- BERNAMA
#hujan lebat #banjir kilat #pulau pinang #kenderaan tenggelam
;