Hujan batu landa Rantau Panjang

Sinar Harian
Julai 23, 2021 05:25 MYT
Penduduk menunjukkan hujan air batu yang berlaku di sekitar Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang pada petang Jumaat. - Foto Sinar Harian
RANTAU PANJANG: Penduduk di beberapa buah kampung di Gual Sitok di sini dikejutkan dengan kejadian hujan batu pada Jumaat.
Kejadian sekitar jam 4.15 petang itu berlaku di beberapa buah kampung termasuk Banggol Merbol.
Fenomena itu menjadi tular di laman sosial Facebook apabila penduduk mula berkongsi perihal fenomena berkenaan.
Seorang penduduk, Muhamad Zailani Che Awang, 42, berkata, kali terakhir kejadian itu berlaku ialah pada 20 tahun lalu.
"Saya cukup bertuah apabila diberikan kesempatan melihat sendiri kejadian ini sekali lagi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, segala rakaman kejadian itu akan disimpan sebagai kenangan kerana ia jarang berlaku.
Sementara itu, fenomena tersebut turut dikongsikan artis dikir barat terkenal Kelantan, Poyie Gasi atau Mohd Zainuri Mohd Zain dalam laman sosial Facebook miliknya.
Poyie berkata, dia cukup teruja dapat melihat kejadian itu secara langsung.
"Semoga ada rahmat di sebalik kejadian itu," katanya.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian. Hujan batu landa Rantau Panjang
#hujan batu #Rantau Panjang #Gual Sitok
;