Hujan batu landa Kuching, Kota Samarahan
Rohana Wahed
Ogos 12, 2018 20:05 MYT
Ogos 12, 2018 20:05 MYT
Suhu panas di sekitar Kuching dan Kota Samarahan di Sarawak sepanjang hari ini berubah apabila dikejutkan dengan hujan batu yang turun sekitar jam 4.30 petang tadi.
Hujan yang jarang berlaku itu melanda sekitar kawasan Tabuan Jaya selain di sepanjang jalan Kuching-Samarahan Expressway.
Ia berlangsung sekitar 15 minit.
Akibat hujan tersebut, beberapa penunggang motosikal terpaksa berhenti di stesen minyak berdekatan untuk berlindung dari hujan batu yang dianggarkan sebesar biji guli.
Sebelum ini, fenomena hujan batu ini turut melanda di Kuala Lipis Pahang pada petang Jumaat lalu.
Hujan batu terhasil apabila ketulan ais terbentuk dalam awan ribut petir atau awan kumulonimbus, iaitu sumber utama pembentukan hujan ribut petir.
Ia disebabkan oleh arus perolakan yang kuat dalam awan tersebut.