Hudud 'permainan' ahli politik tarik undi popular - Pakar Perlembagaan

Madiha Abdullah
November 9, 2024 19:00 MYT
Shad percaya bahawa penganut semua agama, termasuk Islam, mampu membuat tafsiran yang dinamik, dengan mengambil kira tentang realiti dan keadaan semasa.
KUALA LUMPUR: Ahli politik mempunyai kecenderungan membuat tuntutan atau cadangan popular untuk meraih undi, walaupun kadangkala mereka sendiri tidak percaya ia mampu dilaksanakan, termasuk berkaitan hukum hudud.
Pakar Perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi berkata, sebagai contoh, walaupun Kelantan dan Terengganu telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU)berkaitan hudud (Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 Pindaan 2015), namun ia dilihat lebih kepada tujuan politik.
“Matlamat mereka adalah untuk mengatakan kepada pengundi mereka... lihat, ini (musuh politik) bukan orang Islam yang baik. Kami adalah orang Islam yang baik, jadi lihat kami melakukan apa yang perlu dilakukan.
“Selepas itu, mereka diam. Mereka tidak pergi ke mahkamah untuk mencabar perkara tersebut (yang mengekang RUU itu dilaksanakan),” ujarnya.
Jelasnya, terdapat beberapa kekangan dalam pelaksanaan hudud termasuk perihal bidang kuasa Mahkamah Syariah berkenaan sesuatu kesalahan yang perlu ditentusahkan oleh undang-undang Persekutuan.
Tambahnya, secara peribadi beliau percaya bahawa penganut semua agama, termasuk Islam, mampu membuat tafsiran yang dinamik, dengan mengambil kira tentang realiti dan keadaan semasa.
“Saya tidak mempunyai hak untuk memberi sebarang pendapat tentang Syariah kerana saya tiada tauliah. Saya merasakan bahawa terdapat banyak kemungkinan tafsiran. Ia bergantung pada apa yang anda cari. Jadi jawapan saya kepada anda adalah, saya rasa itu (hudud) tidak mungkin berlaku di negara ini.
“Jangan lupa kadar celik huruf lebih kurang 92 peratus, sejak 60 tahun kebelakangan ini, tahap pendidikan masyarakat Melayu Islam semakin meningkat, ramai belajar di luar negara.
“Saya tidak fikir apa yang anda takutkan akan menjadi kenyataan. Tetapi sudah tentu, dari segi politik, ia adalah sebahagian daripada populisme,” katanya dalam sesi soal jawab selepas ceramah Hak Asasi Manusia Tahunan sulung 2024 anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM), pada Sabtu.
Dalam ucaptamanya yang bertajuk Human Rights: Reflections of the East and Perceptions of the West, Shad menegaskan, undang-undang semula jadi yang merupakan sumber hak asasi manusia di Barat, difahami secara berbeza di kebanyakan tempat di Asia, di mana undang-undang Tuhan atau peraturan dalam agama, dianggap sebagai undang-undang tertinggi yang tidak boleh dinafikan.
“Walaupun terdapat kepercayaan yang meluas dalam undang-undang semula jadi... apa itu undang-undang semula jadi? Terdapat perbezaan pendapat di Barat.
“Bagi banyak bahagian Barat, undang-undang semula jadi bermaksud undang-undang akal, gerak hati. Sedangkan, di banyak bahagian Timur, undang-undang semula jadi bermaksud undang-undang Tuhan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Shad berkata, dengan perang yang berterusan di Palestin dan Ukraine, isu pencerobohan hak asasi manusia dilihat semakin meruncing, namun di sudut positifnya, ia membawa kepada peningkatan kesedaran dan advokasi terhadap isu berkenaan.
“Menegakkan hak asasi manusia telah mendapat janji sejagat, walaupun mungkin belum ada tindakan sejagat.
“Kini secara amnya diakui bahawa kedaulatan negara adalah perisai terhadap pencerobohan asing. Ia tidak boleh digunakan sebagai pedang terhadap rakyat anda sendiri.
“Mereka yang menyalahgunakan (hak asasi) patut dikutuk, kerana, seperti kata Martin Luther King, ketidakadilan di mana-mana sahaja, adalah ancaman kepada keadilan di serata tempat,” ujarnya.
#hak asasi manusia #hudud #syariah #undang-undang
;