Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud perlu dikaji semula sebelum dibentangkan di Parlimen, kata pakar fiqh dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Menurut Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi, beberapa perkara perlu diperbetulkan supaya ia tidak melahirkan kontroversi serta kekecohan.

Katanya hudud bukan hanya undang-undang yang meliputi keagamaan, tetapi undang-undang menyeluruh yang meliputi segenap masyarakat.

“Kalau kita melaksanakan hudud, maka hudud itu mestilah menyeluruh bukan sahaja ke atas orang Islam tetapi juga ke atas orang bukan Islam sebab ia adalah suatu sistem dalam masyarakat itu.

“Jika hudud itu dilaksanakan ke atas orang-orang Islam sahaja, maka adalah merupakan suatu undang-undang agama semata-mata,” kata Dr Mahmood pada forum ‘Hudud: Antara ideal dan realiti dan realiti’.

Jelas beliau, Islam merupakan sebuah agama yang menyusun masyarakat tidak kira masyarakat Islam ataupun bukan Islam.

Sebagai contoh, kata beliau, sistem perbankan Islam tidak dilihat hanya khusus kepada umat Islam, sebaliknya ia turut boleh diguna pakai oleh penganut agama lain.

Katanya adalah tidak adil sekiranya hukum hudud hanya dilaksakan ke atas orang-orang yang bergama Islam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada Mac telah berkata, RUU jenayah syariah II atau hudud hanya terpakai kepada ke atas orang Islam sahaja apabila dikuatkuasakan nanti.

Ketika membentangkan RUU tersebut, Ahmad Yakob berkata perkara itu merupakan antara empat pindaan yang dibuat, iaitu hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf yang melakukan kesalahan di Kelantan.

Sementara itu, Dr Mahmood menyifatkan hudud sebagai cita-cita politik PAS memerintah negeri Kelantan, dan ia bukan cita-cita UMNO atau Barisan Nasional (BN).

Meskipun begitu, katanya UMNO telah menyatakan komitmen untuk menyokong undang-undang tersebut kerana mereka juga mempunyai konsep tersendiri tentang hudud.

“Tetapi oleh kerana adanya kesungguhan di kalangan PAS dan mereka itu mendapat sokongan rakyat, maka adalah adil bagi kerajaan persekutuan memberi ruang kepada PAS negeri (Kelantan) supaya UMNO juga boleh melaksanakan cita-cita politik mereka,” katanya.

Bagaimanapun Dr Mahmood menggesa PAS agar menggunakan kesempatan itu bagi merangka undang-undang jenayah Islam yang lebih sederhana, rasional dan boleh diterima umum supaya kerajaan persekutuan tidak ada alasan untuk menolaknya.

Tambahnya, beliau akan menyokong hudud yang dibentang di Kelantan itu, sekiranya ia membawa kepada perpaduan ummah.